Anda di sini

Wanita dilaporkan hilang ketika cari umbut di Bukit Tugung

Advertisement
Operasi SAR sedang giat dilakukan dalam mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika mencari hasil hutan di Bukit Tugung, Nanga Lijan,Julau.
Operasi SAR sedang giat dilakukan dalam mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika mencari hasil hutan di Bukit Tugung, Nanga Lijan,Julau.

BINTANGOR: Seorang wanita dilaporkan hilang ketika mencari umbut dan hasil hutan lain di kawasan hutan di Bukit Tugung, Nanga Lijan,Julau, pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mangsa yang dilaporkan hilang bernama Ijah Lassa berusia 54 tahun dari Rumah Banyang, Nanga Lijan, Julau.

"Dalam kejadian tersebut, Ijah dilaporkan pergi ke hutan terbabit bersama dengan dua orang rakannya yang juga berusia dalam lingkungan 50an pada jam 10 pagi.

"Setelah mendapat beberapa hasil hutan, dua rakan mangsa telah mengajak mangsa untuk berehat sebentar sebelum pulang ke rumah panjang mereka.

"Namun demikian, mangsa telah dilaporkan pulang seorang diri dahulu dan tidak menunggu untuk pulang bersama dengan dua orang rakannya tersebut," kata Nicholas dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ketika dua orang rakan mangsa tiba di rumah panjang sekitar jam 3 petang, mereka mendapati mangsa masih lagi belum sampai di rumahnya.

Risau dengan keselamatan mangsa, dua orang rakannya itu telah memaklumkan berita kehilangan mangsa kepada penduduk rumah panjang yang lain.

Menurut Nicholas, sejurus menerima berita berkaitan dengan kehilangan mangsa, penduduk dari rumah panjang mangsa bersama dengan beberapa penduduk dari rumah panjang yang lain telah melancarkan usaha mencari dan menyelamat mangsa (SAR).

"Namun demikian, usaha tersebut gagal menemui mangsa dan menyebabkan Tuai Rumah (Tr.) Banyang membuat laporan polis berkaitan kehilangan mangsa di Balai Polis Julau pada 10 Jun (Khamis).

"Sejurus mendapat laporan tersebut, pihak polis telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak bomba dan seterusnya mengakifkan operasi SAR.

"Pada hari pertama SAR dilancarkan semalam (Khamis), dengan radius pencarian sekitar 2 kilometer lebih, namun gagal menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan kehilangan mangsa," kata Nicholas.

Operasi SAR hari pertama tersebut yang bermula pada jam 10.30 pagi telah ditangguhkan pada jam 5 petang.

Tambah Nicholas lagi, operasi SAR akan disambung semula pada hari ini (Jumaat) dengan memperluaskan lagi radius lokasi pencarian.

Turut terlibat sama dalam operasi SAR tersebut ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),  Polis DiRaja Malaysia dan juga penduduk kampung.

Advertisement