Anda di sini

Vaksinasi secara 'walk-in' hanya terbuka untuk penduduk luar bandar

Advertisement
 

KAPIT: Vaksinasi secara 'walk-in' hanya terbuka kepada penduduk luar bandar yang terpencil dan luar bandar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata, penduduk yang tinggal di bandar bagaimanapun masih perlu mengikuti prosedur pendaftaran sedia ada.

Katanya, menerusi kaedah 'walk-in' itu penduduk luar bandar di negeri ini tidak perlu lagi bimbang untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Mereka kini boleh mendapatkan suntikan vaksin secara 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan mendaftar selepas itu.

"Kaedah ini akan membantu kita mempercepatkan proses vaksinasi di penduduk Sarawak," katanya selepas melawat PPV di Dewan Sri Balleh pada Khamis.

Menurut Abang Johari, kerajaan negeri sedar akan kesukaran yang dihadapi penduduk di luar bandar terutamanya di kawasan Kapit untuk mendaftarkan diri sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual di pejabat residen dan daerah bagi mendapatkan vaksinasi.

Pada Isnin lalu, beliau menjelaskan kerajaan negeri sedang mempertingkatkan usaha pemberian vaksin terutama di kawasan pedalaman.

Ini termasuklah membenarkan warga emas di kawasan tersebut akan menerima vaksin secara 'walk in'.

Ujar beliau, langkah tersebut perlu dilakukan demi memastikan suntikan vaksin dapat diakses oleh semua orang terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak memiliki kemudahan teknologi.

"Masalah mereka yang tidak memiliki akses teknologi bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman tetapi juga di kawasan bandar di mana wujud sebilangan orang yang tidak ada maklumat atau infrastruktur yang baik untuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Jadi apa yang kita buat adalah jadi lebih fleksibel. Dengan menggunakan kaedah ini saya harap ia akan dapat memperluaskan program imunisasi di Sarawak," katanya.

Beliau berkata langkah tersebut juga bertujuan membolehkan kerajaan negeri untuk mengenal pasti darta mereka yang sudah menerima vaksin.

Tambahnya, pihaknya telah mengarahkan wakil-wakil kawasan untuk membantu menyampaikan maklumat kepada semua penduduk Sarawak.

"Kita harap sasaran untuk jalankan suntikan sebanyak sejuta dos bulan ini dapat disempurnakan," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement