Anda di sini

Terbuka Perancis: Djokovic, Nadal bertemu buat kali ke-58

Advertisement
 Gambar kombinasi menunjukkan Nadal (atas) dan Djokovic (bawah) menentang lawan masing-masing dalam Kejohanan Terbuka Perancis di Paris. — Gambar AFP
SETERU KETAT: Gambar kombinasi menunjukkan Nadal (atas) dan Djokovic (bawah) menentang lawan masing-masing dalam Kejohanan Terbuka Perancis di Paris. — Gambar AFP

PARIS: Novak Djokovic menempah pertemuan ke-58 menentang Rafael Nadal pada Rabu apabila melangkah ke peringkat separuh akhir ke-40 dalam satu kejohanan Grand Slam sementara Maria Sakkari mengejutkan juara bertahan, Iga Swiatek untuk menjadi pemain wanita Greece pertama yang melangkah ke separuh akhir satu kejohanan Grand Slam pada Rabu.

Djokovic, pemain nombor satu dunia, menewaskan Matteo Berrettini dari Itali 6-3, 6-2, 6-7 ( 5/7) dan 7-5 untuk menempah tempat ke peringkat separuh akhir di sini untuk kali ke-11.

Nadal, juara 13 kali kejohanan, menewaskan Diego Schwartzman 6-3, 4-6, 6-4 dan 6-0 untuk melangkah ke peringkat separuh akhir yang ke-14 beliau di sini.

Dengan perlawanan Djokovic melepasi waktu perintah berkurung seluruh negara pada jam 11 malam, permainan dihentikan sekitar 20 minit pada kedudukan 3-2 pada set keempat untuk membolehkan sekitar 5,000 penonton meninggalkan Stadium Philippe Chatrier.

Djokovic akhirnya memenangi set keempat itu pada mata akhir ketiga tetapi hanya selepas menendang dinding iklan tepi gelanggang kerana kecewa gagal menyempurnakan dua mata set pertama.

“Ia seperti melepaskan emosi yang saya simpan,” kata Djokovic, yang melakukan 44 pukulan kemenangan.

“Selepas penonton diarahkan meninggalkan stadium, saya sukar mencari rentak.”

Perlawanan separuh akhir hari ini adalah perlawanan kelapan di antara Djokovic dan Nadal di Terbuka Perancis, di mana Nadal memiliki rekod 7-1.

Nadal pula memburu rekod kejuaraan Grand Slam yang ke-21, mengatasi rekod yang dipegang bersama-sama Roger Federer ketika ini.

Buat kali  pertama, penonton dibenarkan hadir untuk menonton perlawanan sesi sebelah malam pada kejohanan tahun ini kerana pelonggaran sedikit peraturan COVID-19.

Nadal menewaskan Schwartzman buat kali ke-11 dari 12 pertemuan dan pemain ranking ketiga dunia itu memperbaiki rekod kemenangan di Terbuka Perancis kepada 105 dan hanya dua kekalahan ketika melangkah ke peringkat separuh akhir yang ke-35 pada peringkat Grand Slam.

“Ia sentiasa hebat untuk saya kembali ke separuh akhir di sini,” kata Nadal. — AFP

Advertisement