Anda di sini

Susah atau senang, Anis tidak mahu pelajaran diabaikan

Advertisement
 Anis (kiri) bersama ibunya melihat keputusan SPM bersama-sama.
BERJAYA: Anis (kiri) bersama ibunya melihat keputusan SPM bersama-sama.

KOTA KINABALU: Datang dari latar belakang keluarga yang berpendapatan sederhana sentiasa menjadi pegangan buat dirinya untuk tidak leka dalam pelajaran.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kimanis Nur Faizathul Anis Mailin, 18, susah atau senang, fokus dalam pelajaran tidak boleh diabaikan.

Hasil kesungguhan itu juga akhirnya membawa kejayaan buat dirinya dalam meraih keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kejayaannya itu juga membuktikan biarpun hidup dalam keadaan sederhana, ia bukan alasan untuk malas dan tidak mahu berusaha gigih serta belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang. 

Anak sulung daripada tiga beradik ini mendapat keputusan 6A, 3B, 1C dan 1D dalam peperiksaan SPM dan bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris satu hari nanti.

Katanya, biarpun keputusan yang diperolehnya menurun sedikit berbanding keputusan peperiksaan percubaan, namun dirinya tetap bersyukur kerana lulus dalam semua subjek yang diambil.

Anak kepada pasangan Mailin Jinit dan Sailah Nawawi ini menganggap pencapaiannya dalam SPM adalah hadiah buat kedua ibu bapanya yang banyak berkorban masa dan tenaga untuk menampung pembelajarannya bersama adik-beradik.

"Bapa saya bekerja sebagai pemandu lori dan ibu saya  suri rumah tidak pernah lupa untuk sentiasa memberi sokongan dan mendoakan supaya saya beroleh kejayaan dalam pelajaran.

"Walapun banyak cabaran yang terpaksa dihadapi terutama belajar dalam keadaan pandemik COVID-19 yang sedikit-sebanyak mengganggu emosi untuk belajar kerana situasi pembelajaran di sekolah dan di rumah tidak sama.

"Saya sudah mencuba sedaya yang boleh untuk menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik. Pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tahun lalu memang memberi cabaran yang besar buat semua pelajar," katanya yang berasal dari Kampung Lubak Beaufort ini.

Menurutnya yang mesra dengan panggilan Anis ini, semasa berada di asrama selain kelas tambahan yang diadakan oleh guru, mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan setiap malam juga antara rutin yang dilakukannya.

Katanya, jika ada rakan yang lemah dalam satu-satu subjek, mereka akan saling membantu.

Dalam pada itu, Anis turut merancang untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bidang Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL).
 

  • oleh
  • Advertisement