Anda di sini

Sarawak turut lanjutkan PKP 

Advertisement
 

KUCHING: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak dilanjutkan dua minggu lagi hingga 28 Jun, sama seperti langkah diputuskan di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah (gambar) berkata: "Ia terpakai di seluruh Malaysia, justeru kita (Sarawak) ikut (lanjutkan tempoh PKP)."

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

PKP 3.0 masih berkuatkuasa hingga 14 Jun ini.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan lanjutan PKP dilakukan berikutan jumlah kes harian COVID-19 yang masih tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini setelah menerima cadangan dan pembentangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan senarai prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini yang boleh dirujuk dari laman sesawang kementerian berkaitan.

Katanya maklumat lanjut SOP pula boleh diperoleh menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my.

Ismail Sabri berkata memandangkan semua senarai SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka beliau  berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP di lapangan yang akan mengakibatkan rakyat terkesan.

Advertisement