Anda di sini

Rakyat hargai Bantuan Sabah Prihatin 3.0

Advertisement
FIFILA JEFFRY
FIFILA JEFFRY

KOTA KINABALU : Pemberian Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID-19 yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam bentuk tunai (one-off) serta bakul makanan kepada golongan sasar amatlah dihargai.


Menurut Fifila Jeffry, 28, (gambar), bantuan tersebut sungguh baik kerana ia diyakini dapat meringankan beban rakyat terutama golongan yang amat terkesan ekoran pandemik COVID-19 yang ketika ini amat membimbangkan sehingga terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.


Usaha kerajaan negeri itu, katanya, jelas mencerminkan betapa 'sayangnya' kerajaan terhadap rakyat di negeri ini dalam memastikan mereka yang terjejas diberikan bantuan sewajarnya agar dapat meneruskan kehidupan semasa kesukaran ini.


"Alhamdulillah, syukur kerajaan negeri Sabah yang ada pada hari ini sungguh prihatin dan sayang pada rakyatnya yang terkesan ekoran pelaksanaan PKP 3.0 yang disebabkan oleh peningkatan penularan kes COVID-19.


"Bagi pihak rakyat di akar umbi, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah dan juga Ketua Menteri Sabah kerana telah memperuntukkan sekitar RM155 juta untuk Bantuan Sabah Prihatin 3.0.


"Sudah pasti golongan sasar seperti golongan miskin dan miskin tegar; e-Kasih; nelayan; petani; pekebun; penternak; anak yatim; orang tua; orang kelainan upaya (OKU); kanak-kanak; ibu tunggal; veteran ATM; pemandu bot, bas, lori dan teksi; usahawan mikro; penjaja kecil; pelajar; belia serta mereka yang menjalani kuarantin di rumah mendapat manfaat daripada bantuan ini.


"Kerajaan negeri turut tidak ketinggalan memberikan bantuan kepada pemandu pelancong; penggiat seni; divemaster; malim gunung dan porter; termasuklah pengusaha pelancongan; hotel dan penginapan jelas menunjukkan 'no one left behind', " katanya kepada Utusan Borneo.


Dalam perkembangan berkaitan, Fifila turut mengajak seluruh rakyat supaya memberikan kerjasama dan sokongan berterusan kepada kerajaan dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19.


Beliau turut merayu kepada masyarakat supaya memandang serius keadaan ketika ini dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan disamping mengamalkan norma baharu sepanjang masa.


Disamping itu, beliau turut meminta orang ramai supaya segera melakukan pendaftaran vaksin bagi mempercepatkan usaha mewujudkan 'imuniti berkelompok' bagi memerangi penularan COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement