Anda di sini

Program dua hala di sempadan mematuhi SOP

Advertisement

LAWAS: Program pembekalan makanan dan bahan binaan di bawah perjanjian dua hala antara Malaysia dan Indonesia di sempadan Ba’Kelalan, Lawas dilakukan dengan pemantauan rapi dan pematuhan aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) langkah pencegahan CO-VID-19 antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Ke-dua Datuk Henry Sum Agong berkata, bantuan tersebut tidak melibatkan mana-mana pihak berkepentingan.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra dan pejabat Kedutaan Indonesia di Kuching telah meluluskan permohonan daerah Krayan, Kalimantan untuk bantuan tersebut atas faktor kemanusiaan dan semangat setia kawan negara ASEAN.

“Setiap individu terlibat telah menjalani saringan dan pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diberi kebenaran untuk terlibat dalam penghantaran bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Ahli Parlimen Lawas dan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’Kelalan itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan Baru Bian pada Selasa lepas.

Dalam  kenyataan tersebut, Baru meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengambil tindakan dan menghenti-kan program pembekalan makanan dan bahan binaan di bawah perjanjian dua hala antara Malaysia dan Indonesia di sempadan Ba’Kelalan, Lawas demi keselamatan nyawa penduduk tempatan.

Tegas Henry, kenyataan Baru itu yang disiarkan dalam media tempatan adalah bersifat retorik politik.

Katanya lagi mereka terlibat khususnya bagi bahagian pengangkutan menggunakan perkhidmatan pengangkutan milik penduduk di kawasan Ba’Kelalan dan Koperasi Ba’Kelalan serta tidak melibatkan pihak luar dari kawasan itu.

Beliau berkata, bantuan melibatkan barangan makanan dan bahan binaan ke daerah Krayan, Kalimantan melibatkan dua koperasi berdaftar yang telah diberi kelulusan kerajaan kedua-dua negara.

Katanya, kehadiran beliau bersama Residen Bahagian Limbang dan Pegawai Daerah Lawas adalah sebagai wakil sah Kerajaan Malaysia dalam memastikan segala urusan di perbatasan sempadan berjalan mengikut prosedur ditetapkan.

“Bantuan bahan binaan juga diberikan atas persetujuan pihak Kerajaan Malaysia terhadap permohonan Indonesia bagi memulihkan sektor pembinaan kemudahan awam untuk rakyat di daerah Krayan, Kalimantan itu sendiri,” katanya.

Jelas beliau, kawalan ketat dan penutupan pintu sempadan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula April 2020 hingga sekarang masih dikuat kuasa dan tidak ada bukti sah mengenai kemasukan warga Indonesia di pintu sempadan negara yang dikawal Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan agensi penguat kuasa lain.

“Isu warga Indonesia yang didakwa datang dari Ba’Kelalan ke Lawas adalah satu tuduhan tidak berasas kerana ramai pekerja Indonesia yang bekerja di sektor perladangan dan pertanian di kawasan Ba’Kelalan sejak awal sebelum timbulnya pandemik COVID-19,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Baru perlu tahu bahawa bantuan yang dihulurkan ke daerah jiran di Krayan, Kalimantan juga adalah untuk membantu saudara mara kebanyakan penduduk di Ba’Kelalan itu sendiri.

“Ramai penduduk di Ba’Kelalan yang mempunyai pertalian persaudaraan de-ngan rakyat di daerah Krayan, Kalimantan dan ini perlu diakui sendiri oleh Baru.

“Selain itu, bantuan kemanusiaan ini adalah sebagai satu bukti keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap hubungan dengan negara jiran seperti Indonesia,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, tuduhan tidak berasas ini adalah untuk menutup usaha murni kerajaan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang terus menyantuni dan menjaga kebajikan rakyat melalui bantuan makanan, bantuan kewangan di bawah Pakej Bantuan Kebajikan Sarawakku Sayang(BKSS) dan bantuan di bawah pakej Prihatin Nasional di peringkat kerajaan persekutuan.

Katanya lagi, penghantaran makanan dan bekalan bahan binaan yang dilakukan sekarang adalah bagi melengkap-kan baki senarai barangan yang telah dipersetujui ke-dua-dua kerajaan.

  • oleh
  • Advertisement