Anda di sini

Polis komited hapuskan Sabah sebagai pusat transit dadah

Advertisement
 Hazani menyaksikan serah terima tugas antara Airul kepada Sahimi (kanan).
SERAH: Hazani menyaksikan serah terima tugas antara Airul kepada Sahimi (kanan).


KOTA BELUD: Polis komited menghapuskan gelaran negeri ini sebagai pusat transit dadah untuk diedarkan ke negara jiran melalui usaha serius menangani pengedaran serta penyeludupan dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pendedahan pihak berkuasa negara jiran mendapati hasil rampasan dadah di negara terbabit adalah hasil yang dibawa masuk daripada Sabah.

“Baru-baru ini negara jiran berjaya menumpaskan 13 kes sindiket pengedaran dadah di negara mereka dan hasil siasatan yang dijalankan mereka mendedahkan semua dadah berkenaan diseludup masuk dari Sabah.

"Kejayaan terbesar pihak berkuasa Indonesia adalah berjaya merampas lebih 200 kilogram dadah yang dibawa masuk ke Sabah sebelum dieksport semula ke negara jiran itu," katanya.

Menurutnya pihaknya akan menjalankan operasi pembanterasan secara serius dalam usaha menghapuskan gelaran Sabah sebagai pusat transit dadah.

“Masyarakat dinasihatkan supaya tidak berkerjasama dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan selain diminta membantu menyalurkan maklumat untuk tindakan pembanterasan berterusan.

"Saya juga memberi amaran kepada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam aktiviti dadah, sesiapa yang terlibat akan dikenakan tindakan dan hukuman berat yang setimpal dengan jenayah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Belud di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di sini.

Pada majlis berkenaan, serah terima tugas dijalankan antara pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Mohd Airul Sukri kepada Superintendan Sahimi Husin.

  • oleh
  • Advertisement