Anda di sini

Pengikut Abu Sayyaf boleh bertahan sehingga empat bulan tanpa bantuan makanan

Advertisement
 Yusoff Zaki memantau salah sebuah rumah yang dimusnahkan dalam operasi ini.
TINJAU: Yusoff Zaki memantau salah sebuah rumah yang dimusnahkan dalam operasi ini.
 Perigi yang digali oleh pengikut Abu Sayyaf bagi mendapatkan sumber air bersih selain tempat persembunyian jika berlaku sebarang kejadian.
PERIGI: Perigi yang digali oleh pengikut Abu Sayyaf bagi mendapatkan sumber air bersih selain tempat persembunyian jika berlaku sebarang kejadian.


BEAUFORT: Pengikut Abu Sayyaf memilih lokasi persembunyian yang strategik dan sukar dikesan oleh pasukan lawan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata jika dilihat kawasan persembunyian yang dikenalpasti itu, pengikut Abu Sayyaf mendirikan rumah di kawasan yang dikelilingi paya bakau.

“Kawasan ini juga tidak dapat dilihat jika dikesan menggunakan penerbangan di udara dan pasukan keselamatan juga terpaksa masuk ke kawasan ini menggunakan titi serta meredah paya.

“Terdapat tiga buah perigi masing-masing sedalam tiga meter sebagai sumber air bersih selain kawasan persembunyian jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini dan mereka boleh bertahan di kawasan ini sehingga tiga hingga empat bulan tanpa bantuan makanan dari luar.

“Jika dilihat berdasarkan perang gerila, satu kumpulan gerila boleh tinggal di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjalankan fasa kedua operasi perobohan serta memusnahkan rumah penempatan haram pengikut Abu Sayyaf di belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort. 

Dalam operasi terbabit sebanyak lapan rumah dimusnahkan dan turut hadir ialah Pegawai Daerah Beaufort Abdul Imam Basirun.

Katanya pihaknya akan menjalankan fasa ketiga bagi memusnahkan rumah di kawasan ini bagi mengelakkan dihuni oleh anasir tidak bertanggungjawab pada masa hadapan.

“Orang ramai diminta salurkan maklumat kepada pihak Polis jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan dan penempatan haram di kawasan anda. Bersama-sama kita banteras pencerobohan serta anasir luar yang menggugat kedaulatan negara kita,” katanya.

Dalam pada itu dalam perkembangan berasingan beliau berkata tahap pematuhan serta kesedsran penduduk di Beaufort berada pada tahap tinggi.

“Kita akan meneruskan pemantauan terutama di beberapa kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerusi pelbagai pasukan yang sudah diaturgerak bagi mengurangkan penularan COVID-19 pada tahap sifar di sini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement