Anda di sini

Pemberian vaksin di PPV BCCK semakin rancak

Advertisement
 Hwang (kanan) memberi penerangan berkaitan proses vaksinasi. — Gambar Penerangan
PENERANGAN: Hwang (kanan) memberi penerangan berkaitan proses vaksinasi. — Gambar Penerangan

KUCHING: Sejumlah 3,000 kadar suntikan vaksin AstraZeneca diperuntuk bagi pemberian vaksin kepada orang awam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Borneo Convention Centre (BCCK) yang memasuki hari keempat operasi semalam.

Jumlah kadar suntikan ini bertambah berbanding hanya 1,000 orang pada tiga hari pertama operasi sebelum ini.

Terdapat dua Pertubuhan Penjagaan Kesihatan (HCO) yang telah dipertanggungjawabkan untuk tujuan vaksinasi di PPV BBCK iaitu Public Medicare Group (PMG) di HCO A dan Borneo Medical Centre (BMC) di HCO B.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Public Medicare Group (PMG) Hwang Chiong Ann ketika ditemui semasa tinjauan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Sarawak ke PPV BBCK pagi semalam berkata, bagi tempoh tiga hari lepas (7 hingga 9 Jun 2021) hanya 500 orang penerima vaksin dijadualkan setiap hari.

Ia susulan program ini masih lagi dalam sesi ‘warming up’ bagi memastikan perjalanan proses vaksinasi berjalan lancar.

Hwang menyatakan bahawa kehadiran penerima vaksin bagi tiga hari pertama adalah sangat menggalakkan dan turut menjangkakan perkara sama untuk semalam.

“Keadaan PPV kelihatan lengang sebenarnya adalah disebabkan sistem pengurusan pemberian vaksin. Ia diatur berdasarkan masa temu janji yang memperuntukkan jumlah kehadiran tidak terlalu ramai pada satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan selain dapat mempercepatkan proses vaksinasi serta memberi keselesaan kepada penerima vaksin di pusat tersebut,” katanya.
Tambah beliau, ada antara penerima tidak dapat hadir pada tarikh ditetapkan disebabkan masalah kesihatan selain faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan dan mereka akan diberikan masa temu janji baharu.

Pengurus Pusat Vaksinasi PPV BCCK Dr Cheong Yaw Liang pula berkata, jumlah vaksinasi harian akan melibatkan 3,000 orang.

Seramai 1,500 orang akan divaksinasi masing-masing oleh PMG dan pihak BMC bermula semalam dan jumlah itu menurut Dr Cheong, akan bertambah mengikut kesesuaian dan keadaan semasa.

 Proses vaksinasi yang sedang dijalankan di salah sebuah bilik.  — Gambar Penerangan
LANCAR: Proses vaksinasi yang sedang dijalankan di salah sebuah bilik. — Gambar Penerangan

Perkara ini sekali gus menyangkal dakwaan tular di media sebelum ini berkaitan PPV lengang kerana keengganan penerima vaksin yang telah berdaftar vaksin AstraZeneca untuk hadir temu janji.

Dalam pada itu, rata-rata orang awam yang hadir bagi mendapatkan vaksin menzahirkan rasa gembira kerana perjalanan proses vaksinasi lancar, tidak lama, selesa serta mendapat kerjasama cukup baik daripada semua kakitangan bertugas.

Berkongsi pengalaman, Mazenah Bujang yang berusia 71 tahun dari Kampung Gersik berkata, dia mendaftar untuk mendapatkan vaksin sebagai cara untuk menjaga kesihatan diri, bukan kerana paksaan daripada mana-mana pihak.

Poji Bujang, 77, turut senada menyatakan bahawa dia telah meminta pertolongan cucunya bagi mendaftar vaksin kerana ingin melindungi diri dan ahli keluarga lain daripada COVID-19.

Dorris Leong, 68, yang hadir mendapatkan vaksin bersama suaminya berkata, proses vaksinasi sangat teratur dengan tempoh keseluruhan proses termasuk masa menunggu setelah selesai suntikan hanya mengambil masa kurang daripada satu jam.

Dia juga menyatakan bahawa dia dan suami tidak mengalami sebarang kesan sampingan setelah diberikan tempoh untuk berehat selesai proses vaksinasi.

“Saya berasa lebih selamat setelah mendapat vaksinasi serta berharap agar mereka yang belum berdaftar segera mendaftar tanpa perlu memilih jenis vaksin kerana kesemua vaksin yang disediakan oleh kerajaan telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)”, tambah suami Dorris.

 Penerima vaksin yang menunggu di ruang berehat selepas menerima suntikan. — Gambar Penerangan
REHAT: Penerima vaksin yang menunggu di ruang berehat selepas menerima suntikan. — Gambar Penerangan

Salah seorang petugas kesihatan PMG, Dr Arnold Lee berkata, sesetengah penerima vaksin yang mempunyai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi mungkin akan menerima kesan sampingan seperti gatal-gatal kulit dan demam ringan.

“Kita ada menyediakan bilik rawatan di pusat pemantauan untuk memantau keadaan para penerima vaksin.

“Untuk golongan sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit, mereka akan diminta menunggu selama 15 minit sebelum dibenarkan pulang manakala penerima vaksin yang mempunyai penyakit diarahkan menunggu 30 minit”, kata Dr Arnold.

Dos kedua bagi vaksin AstraZeneca akan mula diberikan kepada penerima setelah 12 minggu menerima suntikan pertama.

PPV BCCK mula beroperasi secara rasminya pada 7 Jun 2021 sebagai salah satu pusat pemberian vaksin AstraZeneca di Sarawak selain di Institut Kemahiran Belia Negara, Miri dengan jumlah kakitangan keseluruhan seramai lebih kurang 350 orang.

Masa operasi adalah bermula dari jam 8 pagi hingga 9 malam setiap Isnin hingga Jumaat serta 8 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad.

Advertisement