Anda di sini

Pemain sape profesional ditemui mati

Advertisement
Mayat mangsa diangkat ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke hospital.
Mayat mangsa diangkat ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke hospital.

KUCHING: Seorang pemain alat muzik sape kontemporari professional ditemui mati di ruang bacaan pejabat di aras dua sebuah bangunan komersial di City Square, di sini malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Saufi Aiman Yahya berusia 31 tahun.

Menurutnya, laporan berhubung kejadian diterima pada jam 9.13 malam untuk bantuan membawa turun mayat mangsa.

"Komander operasi mengesahkn terdapat mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring kaku di lantai ruang bacaan pejabat tersebut.

"Mayat mangsa kemudian dibawa turun oleh enam anggota bomba yang lengkap memakai PPE dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan," katanya menerusi satu kenyataan.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis dan kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.05 malam.

Difahamkan mangsa merupakan Juara Dunia instrumentalis untuk kategori klasik, kontemporari dan terbuka serta telah merangkul empat pingat emas dan satu pingat perak semasa Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-21 pada tahun 2017.

WCOPA ialah pertandingan antarabangsa untuk mengetengahkan bakat-bakat besar yang diadakan setiap tahun di Long Beach, California (Amerika Syarikat).

  • oleh
  • Advertisement