Anda di sini

Lazio lantik Sarri jadi jurulatih kelab

Advertisement
SARRI
SARRI

ROM: Selepas mengundang spekulasi dengan ciapan rahsia, Lazio pada Rabu mengumumkan mereka melantik bekas jurulatih Chelsea dan Juventus, Maurizio Sarri sebagai jurulatih baharu.

“Maurizio Sarri adalah jurulatih baharu,” ciap kelab Serie A Itali itu di media sosial.

Sebelum itu, Lazio membuat ciapan menunjukkan tangan memegang rokok, baju sukan dan lukisan ringkas sebuah bank.

Sarri, yang juga bekas jurulatih Napoli, pernah bekerja di bank dan seorang yang dikenali sebagai perokok tegar yang suka memakai baju sukan di tepi padang.

Media Itali melaporkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju dengan kontrak dua tahun pada awal minggu.

Lazio menyusuli pengumuman pelantikan Sarri dengan satu lagi ciapan dikeluarkan di laman sesawang rasmi kelab.

Ia berkata: “Sarrismo.... konsep dikaitkan dengan gaya bola sepak Sarri – kepantasan serangan.”

Ia diiringi dengan video seminit di mana, sebagai tambahan kepada penyokong Lazio da npemain, mengandungi klip Mahatma Gandhi dan Martin Luther King, dipisahkan dengan klip Paulo di Canio dan juga gambar pelangi, runtuhan Roman dan Freddi Mercury sebelum diakhiri dengan Sarri.

Sarri menggantikan Simone Inzaghi, yang menandatangani kontrak sebagai jurulatih Inter Milan selepas lima tahun di Lazio.

Pelantikan itu meneruskan pertukaran di kelompok teratas Serie A Itali. Setakat ini, 12 kelab sudah bertukar jurulatih dengan AC Milan dan Atalanta masih kekal dengan jurulatih yang sama dari senarai 10 kelab teratas liga.

Sarri, 62, menjadi terkenal kerana gaya bola sepak “Sarriball” di Napoli dari 2015 hingga 2018. Beliau menyertai Chelsea di mana beliau menghabiskan satu musim dan memenangi trofi Liga Europa, kejuaraan pertama beliau sebagai jurulatih sebelum berpindah ke Juventus pad 2019.

Di Turin, beliau memenangi kejuaraan Serie A tetapi dipecat  pada bulan Ogos selepas hanya satu musim.

Sarri seorang jurulatih berkarisma dan penuh drama yang bermula dari liga bawahan, dari bangku simpanan kelab kecil di Tuscan ketika masih bekerja di bank. — AFP

Advertisement