Anda di sini

Kingdom: Ashin of the North temui peminat 23 Julai depan di Netflix

Advertisement
 

NETFLIX akhirnya telah menayangkan pratonton pertama ‘Kingdom: Ashin of the North’ untuk episod susulan dalam siri hit zombi Korea Selatan, yang berkisarkan tentang seorang pejuang misteri daripada episod akhir musim kedua.  

Debut episod khas itu dijadualkan untuk ditayang pada Jumaat, 23 Julai, lebih setahun selepas debut enam episod musim kedua siri tersebut.

Video itu bermula dalam sebuah gua gelap dan seram, di mana seorang gadis muda menemui tumbuhan kebangkitan yang misteri dengan tanda aneh yang membawa maksud amaran menggerunkan, untuk membangkitkan yang mati, harus menanggung padah.

‘Kingdom: Ashin of the North’ akan mengisahkan karektor misteri lakonan Jun Ji Hyun (‘Legend of the Blue Sea’, ‘My Love From the Star’) yang muncul pada saat akhir musim kedua.

Ia bukan sahaja mengisahkan cerita misteri keturunan perkampungan Yeojin Utara namun juga akan mengupas asal-usul tumbuhan kebangkitan yang mencetuskan beberapa peristiwa tragis yang melanda Joseon dan seorang wanita yang dipinggir oleh semua bernama Ashin.

Diarah oleh Kim Seong-hun dan lakon layar ditulis oleh Kim Eun-hee, episod khas itu akan dibintangi oleh Jun Ji Hyun sebagai Ashin dewasa, Kim Sia sebagai Ashin muda, dan Park Byung-Eun, yang akan menyambung wataknya sebagai ketua Komander Diraja Min Chi Rok, salah seorang lelaki yang telah membantu Putera Mahkota Lee Chang untuk menghalang mereka yang telah dijangkiti daripada menceroboh istana diraja.

Berlatarkan Zaman Pertengahan Korea era Joseon, dalam kerajaan yang dilanda rasuah dan kebuluran, sebuah wabak misteri melanda lalu mengubah mereka yang dijangkiti menjadi raksasa.

Putera mahkota, difitnah sebagai pengkhianat dan terdesak untuk menyelamatkan rakyatnya, memulakan perjalanan untuk  mengetahui kejahatan apa yang menyelubungi.

Siri asal Netflix ‘Kingdom’ dibintangi Ju Ji-Hoon (‘Along with the Gods’, ‘Dark Figure of Crime’) sebagai Putera Mahkota, Bae Doona (‘Sense8’, ‘Cloud Atlas’) sebagai Seo-bi, Ryu Seung-Ryong (‘Miracle at Cell No. 7’, ‘Extreme Job’) sebagai Jo Hak-Jo, Kim Sangho (‘The Beauty Inside’, ‘The Happy Life’), Heo Joon-Ho (‘Jumong’), dan Jeon Seok-Ho (‘The Good Wife’).

Advertisement