Anda di sini

Enam kematian disebabkan COVID-19 hari ini

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatatkan enam kematian akibat COVID-19 sementara jumlah kes positif baharu COVID-19 adalah sebanyak 309 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kesemua kematian itu melibatkan dua kes di Tawau dan masing-masing satu kes di daerah Semporna,   Sandakan, Kuala Penyu dan Beaufort.

"Daripada 309 kes jangkitan baharu hari ini, 143 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 91 kes adalah daripada saringan kluster, 30 kes adalah daripada saringan bergejala, 26 kes daripada saringan bersasar dan 19 kes adalah daripada lain-lain kes.

"Sementara itu, satu kluster baharu juga dicatatkan hari ini iaitu di Tawau," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Kopi Blues melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Sri Tanjung daerah Tawau. 

Katanya, kes indeks merupakan suri rumah, 46, dari Kg Lorong Saddani, Batu 2 yang disahkan positif melalui saringan bergejala pada 9 Jun 2021 bersama anaknya.

"Daripada 20 sampel yang telah diambil menerusi saringan kontak rapat dan kontak sosial, 10 sampel dikesan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes. 

"Sementara itu, dua sampel didapati negatif manakala enam sampel masih menunggu keputusan," katanya.

Masidi berkata, siasatan awal mendapati semua kontak telah menghadiri perjumpaan di Kg Kopi Blues Batu 2, iaitu rumah keluarga mereka sempena majlis pengebumian dan tahlil pada 29 Mei 2021.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lobou 1 dan Kg Bukit Permai berkuatkuasa 13 Jun sehingga 26 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

"Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Kadazan, Tawau dan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang berkuatkuasa 13 Jun sehingga 26 Jun 2021," katanya

  • oleh
  • Advertisement