Anda di sini

Bantuan Sabah Prihatin 3.0 tanda kerajaan prihatin nasib rakyat.

Advertisement
ABD MANSAH
ABD MANSAH

TAWAU: Kerajaan Sabah telah menyediakan peruntukan sebanyak RM155 Juta untuk membantu rakyat di negeri ini bagi menghadapi wabak COVID-19.

Bantuan Sabah Prihatin 3.0 yang berbentuk wang tunai secara ‘one off’ dan bakul makanan itu akan dapat dimanfaatkan kepada 370,432 penerima yang layak.

Rata-rata rakyat di negeri ini menyambut baik bantuan tersebut dan berharap ianya perlu disegerakan kerana ramai yang telah terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Abd Mansah Abd Samad, 44, berkata keputusan Ketua Menteri Sabah mengumumkan bantuan tersebut menunjukkan kerajaan negeri sangat prihatin terhadap rakyatnya dan tepat pada masanya.

“Bantuan tunai ‘one-off’  RM300 dan bakul makanan sangat dinantikan oleh rakyat terutamanya daripada golongan kategori miskin, miskin tegar dan e-Kasih.

“Selain itu,  usahawan, pengusaha pelancongan dan penjaja kecil, ibu tunggal, veteran ATM, anak yatim, orang tua, orang kurang upaya (OKU) tidak terkecuali menerima bantuan tersebut,”katanya

Menurutnya, bantuan kali ini juga turut diluaskan kepada pemandu bas, lori, teksi, institusi memandu, pemandu bot serta golongan nelayan, petani dan pekebun kecil.

“Sementara itu, penuntut Institut Pengajian Tinggi turut mendapat peruntukan tersebut melalui Kementerian Belia dan Sukan, “katanya.

Abd Mansah berkata bantuan tersebut jelas menunjukan kesungguhan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membantu semua golongan rakyat yang terjejas di negeri ini.

“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban rakyat dan memberi manfaat kepada golongan yang terjejas,” katanya.

HAZIMAH
HAZIMAH

Sementara itu, Nurul Hazimah Lanus,33, pula berkata, bantuan tersebut umumnya baik untuk rakyat negeri ini terutama bagi mereka yang sangat terkesan dengan wabak dan pelaksanaan PKP.

“Bagaimanapun, bantuan yang bakal disalurkan itu harus diberikan kepada mereka yang betul-betul layak tanpa terkecuali.

“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap bantuan tersebut terutamanya bakul makanan sehingga ada golongan yang memerlukan tidak menerimanya,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu turun padang untuk memberikan sendiri dan tidak memberikan kepada pihak ketiga yang akan mengagihkan bantuan tersebut.

“Sekiranya golongan yang memerlukan tercicir daripada menerima bantuan tersebut, sudah pasti kerajaan sendiri akan mendapat kritikan orang ramai.

“Kita mengharapkan bantuan seperti ini bukan bermusim terutamanya dalam membantu mereka yang terjejas pendapatan,” katanya.

AIDIL
AIDIL

Bagi M Aidil Ardas pula berkata bantuan prihatin ini memang  sangat diperlukan oleh rakyat terutamanya pekerja swasta yang hanya mengharapkan pendapatan harian.

“Kami yang bekerja swasta sangat terkesan dengan pelaksanaan PKP ini kerana gaji dikurangkan kerana tidak dapat datang bekerja.

“Malah ada dikalangan kami juga sudah dibuang kerja kerana majikan yang tidak mampu lagi bertahan ekoran tidak dapat beroperasi,” katanya

Aidil berkata, dengan adanya bantuan ini dapat membantu perbelajaan seharian golongan yang telah terjejas.

“Kami mengharapkan bantuan seperti bakul makanan terus dilaksanakan secara berterusan selagi PKP dilaksanakan,”katanya.

Advertisement