Anda di sini

Tsitsipas menewaskan Medvedev mara ke separuh akhir

Advertisement
TSITSIPAS
TSITSIPAS

PARIS: Stefanos Tsitsipas menewaskan Daniil Medvedev dalam tiga set pada Selasa untuk terus berada di landasan melangkah ke final pertama beliau pada kejohanan Grand Slam di Terbuka Perancis sementara dua pemain yang melangkah ke separuh akhir buat kali pertama, Anastasia Pavlyuchenkova dan Tamara Zidansek, hanya kurang dua kemenangan untuk muncul juara bahagian perseorangan wanita.

Tsitsipas, pilihan kelima kejohanan dari Greece, menempah tempat ke peringkat separuh akhir yang ketiga beliau pada kejohanan Grand Slam apabila menewaskan Medvedev 6-3, 7-6(7/3) dan 7-5, sekali gus menebus kekalahan di Terbuka Australia pada awal tahun dan menempah pertemuan menentang Alexander Zverev.

“Saya menentang salah seorang pemain terbaik dalam jelajah dan saya terpaksa meningkatkan permainan saya,” kata Tsitsipas.

“Saya fikir saya bermain dengan baik dan tidak memberikan sebarang ruang. Saya merasakan ia hampir prestasi terbaik saya minggu ini. Saya suka bermain di Paris, ia mengembalikan kenangan manis dan saya gembira untuk meneruskan kemaraan.”

Tsitsipas hanya menang satu dari tujuh perlawanan terakhir menentang Medvedev tetapi beliau tiba di Terbuka Perancis dengan diramal melangkan ke final selepas memenangi kejuaraan di Monte Carlo dan Lyon sementara dua pencabar utama, Novak Djokovic dan Rafael Nadal berada dalam kelompok jadual yang sama.

Zverev, yang ketinggalan 0-2 ketika menentang Oscar Otte pada pusingan pertama, kini sudah menang 15 set berturut-turut untuk melangkah selesa ke peringkat separuh akhir dengan kemenangan 6-4, 6-1 dan 6-1 ke atas Alejandro Davidovich Fokina dari Sepanyol.

“Ia menarik untuk berada di separuh akhir, tetapi berada di sini di separuh akhir masih belum memuaskan hati saya,” kata Zverev, naib juara Terbuka AS tahun lepas.

Pavlyuchenkova melangkah ke peringkat separuh akhir pertama di peringkat kejohanan Grand Slam selepas 52 kali mencuba dan beliau menjadi pilihan untuk melangkah ke final apabila menentang pemain ranking ke-85 dunia, Zidansek dari Slovenia.

Pavlyuchenkova, pilihan ke-31 kejohanan, menewaskan rakan bergunya, Elena Rybakina 6-7(2/7), 6-2 dan 9-7 pada perlawanan suku akhir yang pertama beliau di Terbuka Perancis sejak 2011.

“Ada begitu banyak emosi apabila melangkah ke peringkat separuh akhir Grand Slam buat kali pertama,” kata Pavlyuchenkova, 29, yang sering tewas di suku akhir pada enam kejohanan Grand Slam sejak penampilan sulung pada 2007.

“Saya sentiasa peluang. Dari segi mental, saya mungkin lebih kuat sekarang, saya hanya cuba bermain dengan bijak dan bekerja lebih kuat.”

Rybakina sebelum ini menyingkirkan Serena Williams untuk melangkah ke suku akhir.

Zidansek, yang tidak dikenali sebelum ini, menjadi wanita pertama dari Slovenia yang melangkah ke peringkat separuh akhir satu kejohanan Grand Slam selepas menyingkirkan Paula Badosa dari Sepanyol 7-5, 4-6 dan 8-6.

“Ia satu perasaan luar biasa. Ia sukar diterima dalam masa yang cepat,” kata Zidansek, yang sebelum ini tidak pernah melepasi pusingan kedua pada semua kejohanan Grand Slam.

Beliau akan cuba mengulangi pencapaian Mima Jausovec, pemain kelahiran Maribor (Slovenia) yang memenangi Terbuka Perancis pada 1977 ketika mewakili Yugoslavia. — AFP

Advertisement