Anda di sini

Isnin ajak pemimpin masyarakat bersama banteras dadah

Advertisement
 Isnin (duduk kanan) sedang berbincang dengan Yusoff Zaki (duduk tengah) dalam kunjungan yang diadakan di IPD Beaufort.
KUNJUNGAN: Isnin (duduk kanan) sedang berbincang dengan Yusoff Zaki (duduk tengah) dalam kunjungan yang diadakan di IPD Beaufort.


BEAUFORT : Pembantu Menteri 1 Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih mengajak pemimpin masyarakat di akar umbi supaya membantu menyalurkan maklumat kepada pihak Polis sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan di kawasan masing-masing dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.


Usaha ini penting bagi memastikan komuniti setempat selamat dan bebas daripada masalah dadah kerana jika tidak ditangani ianya berupaya memberi kesan kepada kehidupan masyarakat lebih-lebih lagi merosakkan masa depan anak-anak muda.


Justeru Isnin mahu pemimpin masyarakat memainkan peranan masing-masing bukan sahaja dalam soal pembangunan kampung dan komuniti tetapi juga demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh lapisan rakyat.


"Ayuhlah kita bersama membantu pihak berkuasa (Polis) dalam menangani kegiatan yang boleh 'menghancurkan' diri. Janganlah kita berdiam dan serahkan tanggungjawab ini kepada satu pihak sahaja kerana masalah penagihan dadah ini akan membawa kepada lebih banyak masalah sosial serta jenayah, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas membuat kunjungan terhadap Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, hari ini.


Dalam perkembangan berkaitan Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias turut berkesempatan menasihati rakyat khususnya di daerah Beaufort supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 demi melandaikan kes COVID-19.


Beliau mahu orang ramai supaya tidak sesekali mengabaikan SOP kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan penularan COVID-19 seterusnya mengancam nyawa orang yang tersayang disekeliling.


"Saya ingin mengingatkan kepada rakyat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan. Ayuh kita bersama memerangi penularan wabak pandemik COVID-19 agar ianya dapat diakhiri dengan segera, " ujar Isnin.

Advertisement