Anda di sini

Ceroboh perairan negara, tekong dan awak-awak Vietnam didenda

Advertisement
Kesemua tertuduh semasa berada di lobi Mahkamah Kuching hari ini.
Kesemua tertuduh semasa berada di lobi Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang tekong Vietnam didenda RM10,000 manakala lima awak-awak masing-masing didenda RM7,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Tekong tersebut, Tran Ngoan, dan lima awak-awak iaitu Duong Nua, Vo Vao, Buoi Sang, Tran Ty dan VI Thanh juga bakal berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu mengenai nama, negara, lokasi jalan dan destinasi kapal berkenaan, jenis dan jumlah ikan yang dibawa selain keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Kesemuanya didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 100.02 batu nautika dari Tanjung Po, Sarawak pada jam 4.45 pagi, 25 Mei lalu.

Sehubungan itu, kesemua mereka didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dibaca bersama SubSeksyen 24 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan kapal untuk diserahkan kepada pemilik asal atau agen, selain menetapkan hasil penjualan diesel dirampas dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia setelah tamat tempoh rayuan.

Kesemua tertuduh juga diperintahkan untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Yong Ann Nee manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Andin Linton yang hadir bagi peguam Ranbir Singh.
 

  • oleh
  • Advertisement