Anda di sini

Warga Indonesia didenda kerana tinggal lebih tempoh

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana tinggal melebihi tempoh masa di Malaysia.

Tertuduh, Winardi, berusia awal 30an itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga. 

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selesai menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Mei lalu, jam 10.33 malam, di sebuah pusat komersial di Stutong, di sini. 

Tertuduh dilaporkan bermastautin di negara ini selama 468 hari selepas tempoh permitnya tamat pada 13 Disember 2019. 

Berikutan itu, mahkamah mendapati tertuduh berada di negara ini melebihi tempoh Pas Lawatan Sosial dan tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Seksyen berkenaan membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pemuda Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan memasuki negara tanpa memiliki pas yang sah.

Tertuduh, Rico, yang berusia dalam lingkungan lewat 20an itu juga dikenakan satu sebatan, selain diperintahkan untuk dirujuk ke JIM untuk tindakan lanjut selesai menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memasuki negara tanpa pas yang sah pada 1 Mei lalu, jam lebih kurang 9.30 malam, juga di sebuah pusat komersial di Stutong, di sini.

Semasa serbuan dibuat ke atas premis tersebut, tertuduh dilaporkan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau pas yang sah untuk masuk ke Sarawak.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta sama. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam sebat, jika sabit kesalahan. 

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement