Anda di sini

‘Rumah No. 107’ kembali dengan musim baru di Astro Warna

Advertisement
 

PROGRAM sketsa dan bual bicara komedi terbitan Astro Warna, Rumah No. 107, kini kembali menemui peminat selepas berjaya memenangi hati penonton dengan pengisian menarik dan penuh berinformasi sepanjang bersiaran di musim pertama tahun lalu.

Rumah No. 107 sekali lagi mengekalkan pemain utamanya sebagai pengemudi, dengan diketuai oleh pelakon, penyanyi, pengacara, penulis skrip dan pengarah versatil tanah air, Khir Rahman yang mana beliau turut ditemani barisan pelawak dan pelakon komedi popular negara, Joey Daud, Ropie dan anak seni kelahiran Indonesia, Vicha.

Masing-masing yang pertama kalinya ditampilkan pada musim lalu, kekal memegang watak asal dengan Khir Rahman sebagai Tok K, seorang datuk berumur dalam lingkungan 50-an yang mempunyai penyakit mudah lupa namun tetap meminati dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini industri seni tanah air.

Beliau ditemani Joey sebagai Joey, cucu kepada Tok K yang agak nakal, memiliki mulut yang agak laser dan gemar menyakat anak-anak gadis, Ropie, juga memegang watak sebagai Ropie, jiran dan turut merupakan rakan karib kepada Tok K, yang kini telah mengahwini Bibik Cha (lakonan Vicha).

Bibik Cha adalah pembantu rumah kepada Tok K yang turut menggemari gosip terkini dan diumpamakan sebagai Mami Jarum dalam keluarga Tok K.

Menariknya lagi untuk musim ini, Rumah No. 107 akan menampilkan seorang lagi ahli keluarga baharu Tok K.

Pengacara dan pelakon komedi, Shuk yang akan melakonkan watak Shuk, merupakan anak saudara Tok K yang kini menetap bersama mereka kerana mendapat peluang peker-jaan di kampung Tok K.

Rumah No. 107 yang bakal bersiaran sebanyak lapan episod ini dengan berdurasi 90 minit setiap episod akan menyaksikan penglibatan ramai nama-nama tersohor tanah air sebagai selebriti jemputan.

Di antaranya termasuklah Linda Onn, Halim Othman, Zamani, Ameng SPRING, Dato Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Abby Abadi, Didie Alias, Zizi Kirana dan Kumpulan ELITE (Watie, Azza, Linda Raafar), Catriona Ross, Zarina Zainuddin, Saiful Apek, Dato Chef Wan, Syanie, Nabilla Razali, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Dato Aznil Nawawi, Awal Ashaari dan ramai lagi nama-nama yang disegani ramai.  

Rumah No. 107 menampilkan tiga segmen utama sebagai sajian utamanya. Sembang Secawan Kopi yang diandaikan sebagai segmen pembuka atau pemanas program menyaksikan tetamu jemputan berbual santai bersama Tok K selaku Tuan Rumah mengenai perkembangan terkini industri seni tanah air.

Segmen kedua pula, Dapur Panas Berapi memperlihatkan Bibik Cha menjemput tetamu jemputan ke dapur untuk turut sama memasak dan beraksi dengan skil masing-masing dalam menyediakan masakan kegemaran mereka.

Untuk musim ini, Bibik Cha juga akan mengutarakan soalan-soalan yang lebih panas dan sensasi kepada tetamu jemputannya.

Diikuti pula dengan Pillow Talk, segmen yang dilihat agak berat sedikit berbanding dua segmen yang terdahulu di mana selebriti akan berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing dalam usaha menempa nama di persada seni tanah air.

Di antara topik-topik yang diperdengarkan termasuklah pengalaman jatuh bangun dalam industri, kehilangan orang tersayang, ditinggalkan pasangan di kala meniti hari bahagia, dan banyak lagi.

Berlatarkan rumah agam Tok K sebagai set utama penggambaran yang dijalankan di Cinegear Studio, Sungai Buloh, sedikit kelainan turut diterapkan apabila produksi menampilkan kumpulan pemuzik jemputan sebagai salah satu elemen penting dalam menceriakan lagi Rumah No. 107.

Kumpulan KRISTAL yang diketuai oleh Mohd Rodi Baharudin @ Rody yang juga merupakan gitaris utama kumpulan bersama ahlinya yang lain mengiringi perjalanan produksi sepanjang berlangsungnya musim yang kedua ini.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata, walaupun berlatarbelakangkan sketsa komedi, topik-topik perbincangan yang diketengahkan Rumah No. 107 terutamanya dalam segmen Pillow Talk telah berjaya membuka hati selebriti jemputan untuk berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing yang tidak pernah diceritakan di mana-mana platform sebelum ini.

“Kami di barisan penerbitan berasa berbesar hati dan amat berterima kasih kerana diberikan kepercayaan oleh barisan selebriti jemputan ini untuk berkongsi secara eksklusif pengalaman masing-masing di platform Rumah No. 107,” katanya.

Tambah Norzeha, “Besar harapan saya agar Rumah No. 107 ini sedikit sebanyak memberi iktibar buat kita semua.”

Jangan lupa saksikan Rumah No. 107 setiap Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.  

Selain itu, untuk pilihan yang lebih fleksibel anda juga boleh strim program ini secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand.

Advertisement