Anda di sini

Pusat hiburan anjur parti liar diserbu, RM71,000 kompaun dikeluarkan

Advertisement
Pemeriksaan dilakukan di dalam premis hiburan tersebut.

KUCHING: Seramai 14 individu dikompaun RM21,000 selepas ditangkap ketika asyik berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Canna, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan dilakukan oleh pasukan khas diketuai ASP Sayuti Hamid selepas mendapat maklumat sekitar jam 10.30 malam.

Menurutnya, hasil serbuan mendapati terdapat 12 lelaki tempatan, dan dua wanita termasuk seorang warganegara China sedang berhibur di dalam sebuah bilik khas.

"Susulan itu, kesemua yang ditahan dikompaun RM1,500 seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021.

"Selain itu, pemilik premis juga dikompaun RM50,000 di bawah akta yang sama," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, tiga daripada suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Ketiga-tiga yang positif turut disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," kata Ahsmon.

Beliau turut memohon orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya berlaku aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

  • oleh
  • Advertisement