Anda di sini

Keluarga Islam sengaja dilanggar di Kanada, 4 maut

Advertisement
 Seorang wanita meletakkan bunga di simpang jalan di mana seorang lelaki memandu trak pikap dengan sengaja melanggar dan menyebabkan kematian empat anggota keluarga Islam di London, Ontario kelmarin. — Gambar AFP
TURUT BERSIMPATI: Seorang wanita meletakkan bunga di simpang jalan di mana seorang lelaki memandu trak pikap dengan sengaja melanggar dan menyebabkan kematian empat anggota keluarga Islam di London, Ontario kelmarin. — Gambar AFP

OTTAWA: Seorang lelaki memandu trak pikap dengan sengaja melanggar dan menyebabkan kematian empat anggota keluarga Islam di Ontario, Kanada dalam apa yang polis kelmarin katakan adalah serangan “terancang”.

Suspek berusia 20 tahun memakai ves “seperti perisai badan” lari dari lokasi kejadian pada petang Ahad, dan ditahan di sebuah pusat beli-belah tujuh kilometer dari London, Ontario di mana ia berlaku, kata Inspektor Detektif Paul Waight.

“Terdapat bukti bahawa ia tindakan terancang , dengan motif kebencian, dan keluarga itu menjadi sasaran kerana beragama Islam,” kata Waight pada sidang media

Nama-nama mangsa belum didedahkan namun polis mengatakan mangsa yang maut adalah seorang wanita berusia 74 tahun, seorang lelaki, 46, seorang wanita, 44, dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Seorang lagi anggota keluarga malang itu, kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun, juga dilanggar dan kini berada di hospital dalam keadaan serius tetapi stabil.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam Ahad.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau kelmarin menzahirkan kesedihannya.

“Saya terkejut dengan berita dari London, Ontario,” menurut ciapan Trudeau.

“Kepada keluarga mangsa tindakan kejam semalam (Ahad), kami bersama anda. Islamofobia tidak diterima dalam komuniti kita. Kebencian ini berbahaya dan keji dan mesti dihentikan,” tegasnya.

Dalam sidang media maya kelmarin, Datuk Bandar London turut mengecam jenayah itu.

“Biar saya jelaskan, ini adalah tindakan pembunuhan besar-besaran yang dilakukan terhadap umat Islam, terhadap warga London, dan berpunca daripada kebenci-an,” kata Holder.

Pemandu dikenal pasti sebagai Nathaniel Veltman, 20, telah didakwa dengan empat tuduhan bunuh dan satu tuduhan cubaan membunuh, kata polis.

Waight berkata, pihak berkuasa tempatan sedang bekerjasama dengan polis dan peguam negara tentang menambah “kemungkinan dakwaan terrorisme”.

Menurut polis, lima anggota keluarga itu berjalan bersama-sama di tepi jalan dan sedang menunggu untukmenyeberang di simpang ketika trak pikap hitam “menaiki bebendul jalan dan merempuh” mereka.

Waight tidak mengulas lanjut mengenai siasatan, namun menjelaskan bahawa media sosial Veltman sedang dikaji oleh polis.

Serangan itu, mengimbau kembali memori pahit tragedi tembakan beramai-ramai di Masjid Quebec pada Januari 2017, dan rempuhan di Toronto yang mengorbankan 10 nyawa pada April 2018.

Majlis Kebangsaan Muslim Kanada dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu “menggerunkan dan menuntut keadilan” bagi keluarga yang hanya “keluar untuk bersiar-siar” pada petang musim bunga.

“Kebencian dan Islamofobia TIDAK ada tempat di Ontario,” kata Perdana Menteri Ontario Doug Ford di Twitter. “Tindakan keji dan keganasan ini harus berhenti.”

Empat tahun lalu, seorang pengganas berkulit putih berusia 27 tahun melepaskan tembakan ke arah jemaah selepas solat petang di Masjid Quebec, menyebabkan enam lelaki maut dan lima yang lain cedera parah.

“Dia melepaskan berbelas das tembakan, berlindung di tempat selamat dan mengisi semula peluru pistolnya sebanyak empat kali, seperti sedang bermain permainan video,” kata seorang saksi ketika perbicaraannya.

Kesemua mangsa memiliki dwikewarganegaraan yang berhijrah ke Kanada: dua warga Algeria, dua warga Guinea, seorang warga Maghribi dan seorang warga Tunisia. — AFP

Advertisement