Anda di sini

Jurujual bebas, lepas tuduhan pecah amanah

Advertisement
 Chua (kanan) bersama peguamnya Jacob selesai prosiding di Mahkamah Tinggi Sibu semalam.
BEBAS: Chua (kanan) bersama peguamnya Jacob selesai prosiding di Mahkamah Tinggi Sibu semalam.

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam membebas serta melepaskan seorang jurujual daripada pertuduhan pecah amanah.

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan itu setelah mendengar rayuan jurujual terbabit yang dikenali sebagai Danny Chua, 43.

Mahkamah turut mengetepikan hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap Chua pada 26 Jun 2020.

Sebelum ini, Chua menghadapi satu pertuduhan pecah amanah membabitkan wang sebanyak RM20,000 dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 13 Oktober 2014, kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah syarikat di Jalan Ulu Lanang.

Chua turut menghadapi enam pertuduhan memalsukan invois antara 2 hingga 28 September 2015 dan dituduh mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Pada 26 Jun 2020, dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen bagi enam pertuduhan memalsukan invois namun disabit bersalah atas pertuduhan pecah amanah.

Sehubungan itu, Chua dijatuhi hukuman penjara dua tahun serta membuat rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan terbabit.

Chua diwakili peguam Jacob Wong dan Jessie Wong.

Advertisement