Anda di sini

Penganggur tak mengaku hendak membakar rumah kakak

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dengan cara hendak membakar rumah milik kakaknya. 

Tertuduh, Muzakie Mahidi, 39, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 3 Jun lalu, jam lebih kurang 3 pagi di rumah kakaknya (mangsa) yang terletak di Kampung Tanjong di Petra Jaya, di sini. 

Pada hari kejadian, mangsa terbangun dari tidur selepas mendengar bunyi bising dari ruang tamu tingkat atas. 

Mangsa kemudian keluar serta mendapati adik lelakinya (tertuduh) sedang mengamuk sambil memegang pemetik api dan pakaian ditangannya.

Tertuduh kelihatan seperti hendak membakar pakaian tersebut namun mangsa menjerit dan menghalangnya daripada berbuat demikian. 

Ia menyebabkan tertuduh marah sehingga tertuduh mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membakar rumah tersebut. 

Hasil siasatan juga mendapati mangsa tidak tahu punca tertuduh bertindak sedemikian. 

Bagaimanapun, perbuatan tertuduh mendatangkan ketakutan kepada mangsa dan susulan itu, laporan polis dibuat untuk tindakan selanjutnya. 

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan direkodkan, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 2 Julai depan dan membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin tunai RM3,000 berserta seorang penjamin tempatan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement