Anda di sini

Penganggur pengsan dalam mahkamah sebelum dijatuhkan hukum

Advertisement
Tertuduh dibawa ke hospital menggunakan ambulans, hari ini.
Tertuduh dibawa ke hospital menggunakan ambulans, hari ini.

KUCHING: Seorang penganggur lelaki rebah dalam kandang tertuduh sebelum Mahkamah Majistret di sini, hari ini sempat menjatuhkan hukuman terhadapnya. 

Mizi Mohamad, 24, secara tiba-tiba jatuh pengsan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali dan seterusnya menyebabkan prosiding kes ditangguh seketika.

Tertuduh yang mengaku bersalah apabila didakwa atas tiga pertuduhan berbeza itu berada dalam keadaan kurang sihat susulan cedera pada kedua-dua kakinya akibat ditembak polis dalam satu kejadian di Jalan Bako pada 31 Mei lalu. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan kes disebut pada 16 Jun depan untuk menjatuhkan hukum dan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan. 

Tertuduh dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan, lelaki tersebut didakwa cuba membunuh ASP Mohd Fauzi Mohammat dengan menghayunkan sebilah parang terhadap mangsa dalam jarak satu meter.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kereta peronda milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM3,000.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya pada 31 Mei lalu, jam 12.30 tengah hari, semasa berada berhampiran Jalan Bako, di sini.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah iaitu hendak mencederakan bapanya, 65, pada 31 Mei lalu, jam 9 pagi di kediaman mereka di Kampung Hijrah, Jalan Bako, di sini.

Untuk perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

Mengikut keterangan kes, polis menerima panggilan kira-kira pada jam 11.23 pagi daripada orang awam berhubung kejadian amuk menggunakan sebilah parang dan mengugut akan membunuh ahli keluarga.

Dua kereta peronda diketuai seorang pegawai kanan sampai di tempat kejadian dan bertindak memujuk lelaki berkenaan yang cuba menyerang jiran-jiran. 

Semasa usaha memujuk, tertuduh dengan tiba-tiba meluru dan melibaskan parang pada pegawai polis.

Tertuduh seterusnya cedera pada kedua-dua kakinya, namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di hospital.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement