Anda di sini

Sarawak guna pendekatan hibrid percepat proses vaksinasi di luar bandar

Advertisement
Abang Johari ditemui media selepas melawat PPV AstraZeneca di BCCK hari ini. - Gambar oleh Rosytein Emmor
Abang Johari ditemui media selepas melawat PPV AstraZeneca di BCCK hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha sedaya upaya untuk memastikan semua rakyat terutama yang berada di luar bandar mendapat suntikan vaksin COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, mereka yang berada di luar bandar akan mendapat suntikan vaksin meskipun nama mereka belum didaftarkan.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan mengenai pendekatan hibrid kerana negeri ini mahu mempercepatkan proses vaksinasi terutama di kawasan luar bandar.

“Sekiranya nama mereka tidak ada dalam senarai pendaftaran tetapi mereka sudah datang untuk vaksin, mereka boleh divaksin selepas itu barulah pendaftaran dibuat.

"Kita mahu semua rakyat mendapat vaksin, selain itu memudahkan mereka yang datang dari jauh untuk tidak berulang-alik secara tidak langsung memudahkan urusan mereka.

"Ia sekali gus akan memastikan proses vaksinasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan khususnya di luar bandar," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, selain pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual, negeri ini harus proaktif untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada menerima vaksin.

"Oleh itu, saya telah meminta semau wakil rakyat untuk membantu dalam usaha mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Ogos depan," katanya.

Mengenai program suntikan AstraZeneca, beliau berkata daripada seramai 30,000 orang yang mendaftar, 1,000 orang dijangka mendapat suntikan di BCCK hari ini dan 400 orang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Miri.

"Setakat ini, kita berpuas hati dengan pelaksanaan proses vaksinasi di BCCK hari ini.

"Dan selepas ini, mungkin bilangan naik kepada 3,000 orang sehari dan inilah satu-satunya pendekatan kita untuk mempercepatkan program imunisasi di Sarawak," katanya .

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
 

  • oleh
  • Advertisement