Anda di sini

Status ADUN Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan - Speaker

Advertisement
Pemandangan bangunan DUN Sarawak dari udara - Gambar fail Bernama
Pemandangan bangunan DUN Sarawak dari udara - Gambar fail Bernama

KUCHING: Kedudukan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak masih kekal selepas 6 Jun 2021, kata Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. 

Asfia menerusi kenyataan hari ini, berkata Perkara 18 (1) Perlembagaan Negeri Sarawak dengan jelas memperuntukkan bahawa seorang ADUN akan kekal sebagai ADUN sehinggalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan. 

Katanya, DUN Sarawak sepatutnya terbubar selepas 6 Jun 2021, namun disebabkan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, maka pembubaran DUN Sarawak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri digantung.

“Memandangkan perintah pengisytiharan darurat masih berkuat kuasa dan peruntukan-peruntukan pembubaran DUN telah digantung dan tidak mempunyai kesan oleh Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, maka pelantikan ADUN tidak akan tamat pada 6 Jun 2021. 

“Ianya akan kekal sehingga terbubarnya DUN melalui pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 15 atau selepas 1 Ogos 2021 iaitu tarikh tamatnya darurat tersebut,” katanya. 

Tambah Asfia, selepas 1 Ogos 2021 dan sekiranya perintah darurat tidak disambung, Pilihan Raya Negeri hendaklah diadakan selaras dengan kehendak Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak dalam tempoh 60 hari dari tarikh tamatnya darurat pada 1 Ogos 2021 tersebut.

Sehubungan itu, katanya beliau telah menghantar notis melalui e-mel kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini bagi memaklumkan bahawa tempoh hayat Dewan Undangan Negeri Sarawak dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat. 

Bagaimanapun katanya, Seksyen 13 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pembubaran DUN bagi sesuatu negeri termasuk Sarawak dan juga tarikh pilihan raya, jika pada pendapat Baginda adalah sesuai bagi DUN tersebut dibubarkan dan pilihan raya diadakan dalam tempoh darurat. 

Terdahulu, Asfia menjelaskan persidangan pertama selepas pilihan raya negeri yang lepas adalah pada 7 Jun 2016 dan ini bermakna tempoh lima tahun DUN Sarawak berakhir dan sepatutnya terbubar pada 6 Jun 2021

Susulan pengisytiharan darurat, Yang di-Pertuan Agong pada 25 Mei 2021 telah menasihatkan Kerajaan Negeri Sarawak agar berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. 

  • oleh
  • Advertisement