Anda di sini

Literasi media rendah antara punca berita palsu berleluasa

Advertisement

MIRI: Tahap literasi media dan informasi yang masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan antara punca penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa berkenaan COVID-19.

Penolong Profesor Pengajian Komunikasi, Northern State University, South Dakota, Amerika Syarikat, Dr Nuurrianti Jalli berkata ‘information disorder’ atau gangguan maklumat seperti berita palsu adalah salah satu masalah sosial masa kini dan sudah tiba masanya untuk Malaysia menangani masalah ini secara lebih strategik.

“Di Malaysia banyak orang menggunakan media sosial tidak mengira usia yang kecil hinggalah yang tua, malangnya kesedaran terhadap etika penggunaannya masih rendah di mana tahap literasi media dan informasi masih rendah.

“Pendidikan berkaitan literasi media harus ditingkatkan yang bukan sekadar kempen di TV (televisyen) dan media lain.

“Subjek literasi media dan informasi harus diperkenalkan di sekolah, universiti dan pusat komuniti untuk meningkatkan tahap pengetahuan tentang pengendalian maklumat dan penggunaan media dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo melalui WhatsApp semalam.

Dr Nuurrianti berkata, beliau bersetuju tindakan undang-undang perlu diambil ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu terutama berita dan maklumat palsu yang boleh menyebabkan ketakutan, hura-hara, pergaduhan dan menggugat kesejahteraan masyarakat.

“Contohnya, kesalahan menyebarkan maklumat salah berkenaan vaksin COVID-19 yang boleh menyebabkan orang lain tidak mahu ambil vaksin dan akhirnya akan mengganggu misi untuk mencapai imuniti kelompok untuk membendung COVID-19.

“Nasihat saya, pastikan kita gunakan media sosial secara bertangggungjawab, pastikan kita semak informasi yang kita sebar dan kongsi kerana tindakan undang-undang boleh diambil jika kita tidak pandang serius dengan etika penyebaran maklumat,” ujar beliau.

Dr Nuurrianti yang merupakan pakar dalam bidang perang saraf media dan komunikasi menambah, di Malaysia terdapat banyak undang-undang yang boleh diguna pakai oleh kerajaan untuk mendakwa mereka yang menyebarkan berita palsu, namun secara amnya adalah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • oleh
  • Advertisement