Anda di sini

Kanak-kanak 2 tahun maut dipercayai didera, ibu dan kekasih ditahan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Betong, dipercayai akibat didera. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (gambar) yang mengesahkan kejadian itu berkata, ibu dan teman lelakinya kini ditahan untuk siasatan lanjut kes tersebut. 

"Kes ini masih dalam siasatan. Saya tidak boleh bagi maklumat lanjut selain mengesahkan ada laporan dibuat oleh pihak Hospital Betong tentang kes kematian kanak-kanak berusia 2 tahun yang mempunyai kesan lebam pada tubuh si mati. 

"Ibu dan teman lelaki ibu kanak-kanak terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya menerusi WhatsApp hari ini. 

Jelas Aidi, Ketua Polis Daerah Betong akan mengeluarkan kenyataan media berkaitan kes itu. 

Tambahnya, polis masih menunggu butiran kes serta laporan penuh.

Difahamkan, jenazah kanak-kanak malang itu kini ditempatkan di Hospital Betong untuk tindakan selanjutnya termasuk mengenal pasti punca kematian.

Kes itu turut tular di media sosial yang memaparkan gambar kedua-dua suspek bersama kanak-kanak berkenaan.

Selain itu, hantaran yang dimuat naik salah seorang ahli keluarga dipercayai bapa saudara kanak-kanak tersebut meminta agar orang ramai yang mengenali suspek untuk segera menghubunginya. 

  • oleh
  • Advertisement