Anda di sini

Pakar antarabangsa dikerah bantu Sri Lanka tangani tumpahan minyak

Advertisement
 Sebuah kapal (kanan) kelihatan menghampiri kapal MV X-Press Pearl yang separuh karam selepas dijilat api selama hampir dua minggu di luar pelabuhan Colombo, Sri Lanka semalam. — Gambar AFP
HANGUS: Sebuah kapal (kanan) kelihatan menghampiri kapal MV X-Press Pearl yang separuh karam selepas dijilat api selama hampir dua minggu di luar pelabuhan Colombo, Sri Lanka semalam. — Gambar AFP

COLOMBO: Pakar luar negara telah dikerah untuk membantu Sri Lanka membendung tumpahan minyak dari kapal kontena yang terbakar yang kini sudah separuh karam di Colombo, operator kapal tersebut menjelaskan semalam.

Wakil Persekutuan Pencemaran Pemilik Tanker Antarabangsa (ITOPF) dan Respons Tumpahan Minyak (OSR) berada di darat untuk memantau MV X-Press Pearl, kata X-Press Feeders.

“Mereka terus bekerja-sama dengan MEPA (Penguasa Perlindungan Persekitaran  Marin) bersama tentera laut Sri Lanka dalam melaksanakan pelan untuk mengawal sebarang pertumpahan minyak dan pencemaran lain,” kata syarikat itu.

Ketua eksekutif, Shmuel Yoskovitz, memohon maaf kepada Sri Lanka atas malapetaka kebakaran kapal 13 hari itu serta telah membanjiri pantai-pantai di pulau tersebut dengan banyak sisa plastik.

“Saya ingin menyuarakan kekesalan yang mendalam serta memohon maaf kepada penduduk Sri Lanka terhadap kerosakan yang telah diakibatkan oleh insiden ini ke atas kehidupan dan persekitaran Sri Lanka,” kata Yoskovitz.

Belakang kapal itu kini telah berada di dasar laut dan hadapannya sedang karam, pakar alam sekitar khuatir pertumpahan minyak akan mendatangkan kemusnahan yang lebih teruk kepada kehidupan marin.

Laut bergelora dan kadar penglihatan rendah menghalang penyelam tentera laut daripada memeriksa kapal itu semalam, menurut jurucakap tentera laut Sri Lanka Indika de Silva.

Beliau berkata pasukannya telah tiba di kapal karam itu dan melakukan pemeriksaan sepintas lalu semalam, namun tidak dapat meneruskan misi mereka akibat kadar penglihatan yang buruk.

Sementara itu, MEPA telah meletakkan pelarut dan penapis minyak sekiranya berlaku kebocoran minyak sebanyak 350 tan yang dibawa kapal tersebut.

Sebuah kapal India juga berada di kawasan itu dan telah mempunyai kelengkapan untuk menangani minyak terapung.

Ketua Pelabuhan Sri Lanka, Nirmal Silva memberi keterangan kelmarin bahawa setakat ini tiada sebarang pertumpahan minyak berlaku.

“Merujuk keadaan kebakaran kapal itu, pakar berpendapat bahawa minyak simpanan itu telah terbakar bersama,” kata Silva.

Kapal tersebut mengangkut sebanyak 81 kontena “cargo berbahaya” termasuk asid dan jongkong plumbum.

Sisa plastik daripada kargo kapal itu telah memaksa aktiviti memancing ditangguhkan serta menimbulkan kekhuatiran terhadap persekitaran marin dan juga ekonomi tempatan.

Pihak berkuasa Sri Lanka percaya kebakaran itu berpunca daripada kebocoran asid nitrik yang sudah dikenal pasti oleh kru kapal sembilan hari sebelum kebakaran itu bermula.

Kapal milik Singapura tersebut sedang dalam perjalanan menuju Colombo melalui India. Seramai 25 anak kapal diselamatkan minggu lalu. — AFP

Advertisement