Anda di sini

Kebakaran besar di kilang penapisan minyak di Tehran

Advertisement
 Kepulan asap tebal dilihat di kilang penapisan minyak yang terbakar di Tehran, Iran kelmarin. — Gambar AFP
MARAK: Kepulan asap tebal dilihat di kilang penapisan minyak yang terbakar di Tehran, Iran kelmarin. — Gambar AFP

TEHRAN: Kebakaran besar menyelubungi kilang penapisan minyak di Tehran kelmarin ekoran kebocoran dalam paip gas cecair yang mencetuskan letupan, kata ketua pasukan krisis bandar itu.

Api marak diikuti kepulan asap tebal dan hitam yang menjulang ke langit dapat disaksikan dari seluruh Teh-ran.

“Satu kemalangan telah berlaku disebabkan oleh kebocoran daripada paip kecemasan gas cecair, mencetuskan letupan yang menjadi punca api tersebut,” kata ketua pasukan krisis Tehran Mansour Darajati.

Darajati menerangkan bahawa kebakaran bermula sekitar jam 7.30 malam, dan “tiada kematian setakat ini”.

Kebakaran masih berterusan pada jam 10.45 malam namun kurang marak.

Kilang penapisan minyak tersebut terletak dalam zon industri, namun juga berada beberapa ratus meter dari kediaman orang ramai.

“Kebakaran itu besar, beberapa tangki simpanan sedang terbakar,” lapor seorang wartawan televisyen tempatan yang hadir di lokasi kejadian.

“Anggota bomba sedang mengelilingi kawasan itu dan mencuba untuk mengawal api agar tidak merebak ke tangki lain,” tambahnya.

Televisyen tempatan me-laporkan sebanyak 18 tangki simpanan minyak telah dijilat api.

Kilang tersebut telah beroperasi sejak 1968, dengan kapasiti sebanyak 250,000 tong sehari, dan dimiliki oleh Syarikat Penapisan Minyak Tehran.

Jurucakap syarikat me-ngetepikan “segala spekulasi tentang sabotaj ke atas kilang tersebut. Kemalangan itu berpunca daripada masalah teknikal, dan kami kini sedang dalam proses untuk mengawal api,” menurut kenyataan televisyen tempatan.

Kebakaran itu berlaku hanya beberapa jam sebelum angkatan tentera laut Iran mengumumkan salah satu kapal paling besar mereka, The Kharg,  telah karam di Teluk Oman akibat kebakaran.

Punca kebakaran tersebut masih belum dapat ditentukan.

Kemalangan industri seringkali berlaku di Iran. - AFP

Advertisement