Anda di sini

Hanya berjoging, senaman di rumah dibenarkan semasa PKP 3.0

Advertisement
ELLRON
ELLRON

KOTA KINABALU: Hanya joging dan senaman di rumah sahaja dibenarkan semasa fasa ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di Sabah.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, pada ketika ini kegiatan lain tidak diizinkan selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dari kementerian kesihatan.

"Mereka yang melanggar SOP ini akan didenda pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, masih ramai yang masih tidak menyedari atau tidak memahami bagaimana garis panduan SOP disediakan.

"Ramai yang tidak sabar untuk SOP baharu menyebabkan mereka membuat keputusan sendiri dengan berbasikal atau berjoging di taman.

“Ketika mereka didenda, mereka mengeluh dan menyalahkan kerajaan kerana lambat mengumumkan SOP baharu.

"Sekiranya mereka bersabar dan hanya menjalankan aktiviti dibawah garis panduan SOP, mereka tidak akan dikenakan denda," katanya.

Ellron berkata, penyediaan SOP melibatkan perancangan rapi, perbincangan dengan peringkat tertinggi kementerian sebelum dicadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah untuk kelulusan dan kemudian diwartakan.

“Setelah diwartakan, SOP terbaru akan disalin ke dalam format infografik, ditinjau sebelum diterbitkan. Ini semua memakan masa dan bukan sesuatu yang dapat dibuat dengan anggapan pada waktu pagi diusahakan dan diterbitkan pada waktu petang,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan pasukan atlet Sabah dan kebangsaan boleh mengadakan latihan tetapi dengan ketetapan SOP yang ketat seperti yang diumumkan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, pada ketika ini, hanya kategori sukan berprestasi tinggi yang dibenarkan untuk mengadakan latihan seperti atlet kebangsaan, SUKMA dan para atlet dibawah Program Majlis Sukan Negara.

Antara kategori sukan berprestasi tinggi adalah seperti atlet angkat berat, akuatik (menyelam), karate, sepak takraw dan hoki untuk pasukan lelaki dan wanita. Latihan adalah dari 6 pagi sehingga 7 malam sahaja.

Katanya, semua atlet yang berlatih mesti patuhi SOP di pusat latihan sepenuhnya.

Maklumat lebih lanjut mengenai SOP berkenaan boleh berhubung dengan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN) Mohd Asneh Mohd Noor di talian 013 8703107, Valerie Wong (019 8808198) atau Desmond Qwek (014 8675666).
 

Advertisement