Anda di sini

‘Derita Untuk Bahagia’ ambil alih tayangan HYD mulai 7 Jun ini

Advertisement
 

SUSULAN perlaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan, Astro Prima dan syarikat produksi Global Station terpaksa menghentikan penggambaran drama adaptasi ‘Hati Yang Dikhianati’ (HYD) yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang.

Keputusan ini sekaligus memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang juga terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula Isnin depan iaitu 7 Jun.

Drama bersiri terbaharu ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengambil alih slot tersebut dan akan ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang.

Untuk makluman, drama HYD yang diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan ‘plot twist’ dan kesudahan drama tersebut.

Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Sementara itu, drama bersiri ‘Derita Untuk Bahagia’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi MIG Productions Sdn. Bhd. pula merupakan sebuah naskhah asal yang mengangkat genre kekeluargaan, persahabatan dan cinta.  

Drama 30 episod arahan Ejump Mohd ini turut menampilkan David Teo selaku penerbit. Antara barisan pelakon yang membintangi drama ini termasuklah Azar Azmi, Hafreez Adam, Amar Baharin, Marisa Yasmin, Dayang Areeda, Jasmin Hamid, Dian P Ramlee, Riezman Khuzaimi, Harieyanto Hassan, Dato Hilal Azman, Aida Othman, Zarina Zainuddin dan ramai lagi.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata, “Pihak Astro kini dalam usaha menyusun jadual baharu untuk sambungan drama tersebut dan masih belum boleh berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenainya kerana perlu mengambil kira situasi semasa pandemik. Selain aspek keselamatan, faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi, kesesuaian tarikh dan garis masa, syarat SOP yang lebih ketat dan sebagainya perlu dipertimbangkan.

“Pengalaman menghadapi situasi sebegini sejak arahan PKP 1.0 dikeluarkan Mac tahun lalu amat membantu kami membuat persediaan awal sekiranya ia berulang kembali. Walaupun drama HYD tidak dapat diteruskan menerusi slot Tiara mengikut perancangan asal, drama terbaharu Derita Untuk Bahagia yang bakal kami pertaruhkan untuk mengisi kekosongan slot tersebut juga tidak kurang hebatnya.

“Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, drama ini berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat. Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Ejump selaku pengarah yang sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa. Semoga drama ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengubat hati para pengikut setia slot Tiara di Astro Prima sekaligus diterima baik oleh rakyat Malaysia. Semoga terhibur!,” katanya.

‘Derita Untuk Bahagia’ mengisahkan Alisha ialah gadis yang rajin dan yang membesar dalam keadaan yang penuh dengan cabaran, bapanya kaki pukul manakala ibunya membanting tulang membesarkannya.

Alisha bijak dan pandai berdikari untuk mencari wang. Suatu hari Alisha dikejutkan apabila sedar yang dia bukanlah anak kandung ibunya. Pergolakkan berterusan apabila Alisha cuba mahu mencari keluarga kandungnya.

Pertemuan Alisha dengan Danial dan Raif juga telah membibitkan situasi cinta tiga segi antara mereka semua, namun hubungan cinta Alisha ditentang sehingga dia menemui kebenaran.  

Berjayakah Alisha menemui bahagia dan cinta selepas melalui kehidupan yang sukar, ditambah dengan masa silam keluarganya yang kini menghantuinya?

Lagu single ‘Bangkit Semula’ nyanyian penyanyi popular Khai Bahar diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini. Lirik single tersebut merupakan hasil nukilan Adi Pawana dan turut menampilkan Adi Pawana & Alun Cendana selaku komposer.

Advertisement