Anda di sini

Masing luah hiba kehilangan adik akibat COVID-19

Advertisement
Masing (kiri) berkongsi gambar kenangan bersama adiknya Jantai, di Rantau Penora di Facebooknya.
Masing (kiri) berkongsi gambar kenangan bersama adiknya Jantai, di Rantau Penora menerusi Facebooknya.

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkongsi kedukaan susulan kematian adik lelakinya Jantai, 63, akibat COVID-19.

Dalam hantaran di Facebooknya, Masing berkata kesakitan kehilangan adiknya akibat COVID-19 sangat tidak tertanggung.

Lebih menyakitkan apabila ahli keluarga hanya dapat melihat pengkebumian mendiang adiknya dari jauh. 

"Hari ini (Rabu) saya terpaksa mengebumikan adik lelaki bongsu saya. la sangat sukar hanya dapat melihat dari jauh ketika mereka menurunkan keranda ke dalam tanah kerana kami tidak dibenarkan mendekati tapak perkuburan," katanya.

Jantai meninggal dunia pada Isnin, beberapa hari selepas isterinya juga tertewas akibat virus itu pada Jumaat lepas (28 Mei). 

Masing dalam pada itu merayu kepada orang ramai untuk mengambil serius pandemik ini dan menegaskan satu-satunya cara untuk mengatasi pandemik ini adalah menerusi vaksinasi.

"COVID-19 harus diambil serius. Kesakitan kehilangan seseorang yang tidak dapat dipegang atau dilihat buat kali terakhir amat sukar.

"Setiap orang harus sedar betapa bahayanya pandemik ini. Lagi awal mendapatkan vaksin adalah lebih baik. Bersemadilah dengan tenang adikku," tulis Masing yang turut berkongsi gambar terakhir diambil bersama Jantai. 

Jantai meninqgalkan empat anak, tiga perempuan seorang lelaki, Nicholas Kudi yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri.
 

  • oleh
  • Advertisement