Anda di sini

Mahkamah Thailand bebas dua ketua protes prodemokrasi

Advertisement
 Anon Numpa (kiri) dan Panupong Jadnok menunjukkan tiga jari ketika meninggalkan Hospital Universiti Thammasat, selepas kedua-dua ketua protes prodemokrasi itu dibebaskan dengan ikat jamin ekoran dijangkiti COVID-19 ketika dalam penahanan praperbicaraan di Penjara Reman Bangkok kelmarin. — Gambar AFP
BEBAS: Anon Numpa (kiri) dan Panupong Jadnok menunjukkan tiga jari ketika meninggalkan Hospital Universiti Thammasat, selepas kedua-dua ketua protes prodemokrasi itu dibebaskan dengan ikat jamin ekoran dijangkiti COVID-19 ketika dalam penahanan praperbicaraan di Penjara Reman Bangkok kelmarin. — Gambar AFP

BANGKOK: Dua ketua protes prodemokrasi Thailand yang terkenal telah dibebaskan kelmarin, beberapa minggu selepas dijangkiti COVID-19 dalam penjara padat negara tersebut.

Aktivis Panupong “Mike” Jadnok dan peguam hak asasi manusia Anon Numpa telah berdepan dengan beberapa tuduhan di bawah undang-undang mencemar kedaulatan negara.

Mahkamah jenayah Thailand kelmarin melepaskan mereka dengan ikat jamin, kata Peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia.

Mereka membayar ikat jamin berjumlah 200,000 baht (RM26 ribu) masing-masing serta disekat daripada meninggalkan Thailand serta mengikuti sebarang aktiviti yang mencemar pentadbiran monarki itu.

Anon telah berada dalam tahanan selama lebih 100 hari manakala Panupong selama 85 hari.

Dibebaskan dari Hospital Universiti Thammasat lewat malam kelmarin, mereka disambut dengan bunga dan sorakan oleh penyokong yang telah menunggu selama beberapa jam.

“Sama ada di dalam mahupun di luar penjara, saya masih seorang pejuang serta tidak takut,” kata Panupong.

“Semestinya akan ada gerakan, namun kami harus menjalankannya dan memikirkan dalam bentuk apa ia diadakan.

Aktivis ketiga yang menghadapi dakwaan mencemar kedaulatan, Chukiat “Justin” Saengwon, juga dibebaskan dengan ikat jamin kelmarin, namun masih menunggu tuduhan lain.

Protes yang diketuai pelajar di Bangkok tahun lepas telah menggumpulkan berpuluh ribu orang namun bersurai selepas Thailand dilanda gelombang ketiga jangkitan COVID-19 dan pihak berkuasa mengetatkan peraturan dalam perhimpunan awam.

Tunjuk perasaan itu telah mematahkan larangan yang sudah lama berkuatkuasa dengan memaksa penggubalan semula kuasa monarki Thailand, yang dilindungi oleh salah satu peraturan kedaulatan negara paling ketat di dunia.

Sekitar 90 orang daripada gerakan demokrasi telah disabitkan kesalahan di bawah akta mencemar duli kerajaan tersebut sejak Julai tahun lalu dan sedang menanti perbicaraan.

Mereka yang disabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun atas setiap tuduhan. — AFP

Advertisement