Anda di sini

Polis Sabah hantar team pematuhan di kawasan peningkatan tinggi kes COVID-19

Advertisement
HAZANI
HAZANI


KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menghantar team pematuhan di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pihaknya akan melaksanakan tindakan lebih tegas bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk memastikan tahap pematuhan dipatuhi sepenuhnya.

“Team pematuhan di daerah yang mencatatkan peningkatan kes tinggi termasuk Tawau, Kalabakan, Kunak dan Lahad Datu untuk tindakan lebih agresif.

“Saya risau pasal Tawau kerana jangkitan COVID-19 di daerah ini ada di mana-mana dan saya cukup risau, sebab itu saya hantar team pematuhan lebih agresif di kawasan ini.

“Saya menggesa kepada rakyat Sabah agar mendisiplinkan diri dan patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan dan buang perasaan ego hendak berjalan ke sana sini, jangan disebabkan perasaan ego kita menyebarkan virus kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.

Menurutnya sejak pelaksanaan PKP 3.0 di negara ini, Sabah mencatatkan pengurangan kenderaan yang agak ketara sehingga mencapai 80 peratus.

“Bagi daerah yang agak jauh dari ibu negeri termasuk Kudat sehingga ke Tuaran, hasil tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) mendapati berlakunya pengurangan kenderaan sehingga 80 peratus berbanding sebelum ini.

“Kawasan lain yang berada berdekatan iaitu Tuaran ke ibu negeri pula mencatatkan pengurangan sehingga 60 peratus dan keadaan ini disebabkan Kota Kinabalu sebagai  pusat ekonomi dan tumpuan pejabat dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus patuh kepada SOP berikutan angka kompaun yang dikeluarkan pada hari pertama PKP 3.0 mencecah sehingga 60 kompaun.

“Jumlah ini saya rasa tinggi dan kita tidak akan berkompromi. Ambil contoh negeri lain yang mencatatkan kes tinggi selepas musim perayaan.

“Jika tiada keperluan jangan keluar rumah kecuali untuk mendapatkan keperluan asas dan hal kecemasan tapi tidak lebih dua orang. Untuk ziarah kematian saya hanya benarkan keluarga terdekat termasuk adik beradik dan anak sahaja.

“Sampaikan takziah melalui amalan agama masing-masing sahaja. Perkara ini perlu dipandang serius, balik ziarah kematian selesai sahaja majlis kita sebarkan COVID-19, begitu juga majlis sosial lain termasuk kenduri kawin dan sebagainya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement