Anda di sini

Operasi bot ekspres di Kapit dihentikan buat sementara waktu

Advertisement
Gambar fail

SIBU: Kementerian Pengangkutan Sarawak telah memutuskan untuk menghentikan operasi bot ekspres buat sementara waktu untuk pergerakan masuk dan keluar bahagian Kapit mulai hari ini.

Menterinya, Datuk Lee Khim Shin berkata keputusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam usaha mengurangkan kes COVID-19 di bahagian Kapit.

"Dengan mempertimbangkan keputusan tersebut, Kementerian telah membuat keputusan untuk menghentikan sementara perkhidmatan bot ekspres untuk pergerakan keluar masuk bahagian Kapit mulai 30 Mei ini sehingga diberitahu kelak.

"Ia membabitkan laluan bot ekspres dari Kapit-Putai-Kapit, Sibu-Kapit-Putai-Kapit-Sibu dan Kapit-Belaga-Kapit.

"Keputusan yang dibuat ini memang tepat pada masanya untuk membendung penyebaran COVID-19 di bahagian Kapit terutamanya ketika perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lee berkata, Kementerian Pengangkutan Sarawak melalui agensinya Lembaga Sungai Sarawak (LSS) telah mengeluarkan notis kepada semua pemilik dan pengusaha bot ekspres yang terlibat mengenai perkara tersebut.

Dalam hal ini, ujarnya, LSS juga mengingatkan pemilik dan pengendali bot ekspres untuk mematuhi arahan dikeluarkan.

"Dengan pengeluaran notis tersebut, penguatkuasaan dan pegawai LSS di Sibu dan Kapit telah diarahkan untuk memantau keadaan dengan teliti terutamanya berkenaan pematuhan terhadap arahan tersebut," katanya.

Menurut Lee lagi, LSS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemilik atau pengusaha bot ekspres yang mengingkari arahan tersebut.

"Keselamatan orang ramai adalah menjadi keutamaan kami, kementerian percaya penangguhan sementara perkhidmatan bot ekspres tersebut akan memperkukuhkan lagi usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan bilangan kes COVID-19 di bahagian Kapit," tambahnya lagi.

Advertisement