Anda di sini

Adaptasi format All Together Now pertama di Asia Tenggara

Advertisement
 Sherry Al Hadad akan mengendalikan pentas utama selaku Hos program ATNMY selain turut membawa masuk gandingan Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar bagi memeriahkan musim pertama sebagai Hos untuk program kapsul Di Sebalik All Together Now Malaysia.  — Gambar AFP
HOS ATNMY: Sherry Al Hadad akan mengendalikan pentas utama selaku Hos program ATNMY selain turut membawa masuk gandingan Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar bagi memeriahkan musim pertama sebagai Hos untuk program kapsul Di Sebalik All Together Now Malaysia. — Gambar AFP

PROGRAM realiti All Together Now Malaysia atau ATNMY ialah sebuah pertandingan nyanyian yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang had umur.

Penyertaan adalah terbuka secara solo, duo, trio ataupun berkumpulan. Barisan peserta juga bebas memilih genre muzik dan jenis bahasa untuk diketengahkan dalam lagu persembahan masing-masing.

Program ATNMY ini telah diadaptasi daripada format antarabangsa popular All Together Now dari United Kingdom terbitan BBC One.

Program ini juga turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format tersebut telah diadaptasi semula di serata dunia termasuklah Australia, Rusia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland, Perancis dan sebagainya.

Malaysia merupakan negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal dalam satu kenyataan media berkata, setelah agak lama menyepi daripada menganjurkan sebarang pertandingan nyanyian yang membabitkan penyertaan amatur, saluran Astro Ria kini dengan berbesar hati menganjurkan program ATNMY bagi mengubat kerinduan orang ramai.

“Kali terakhir Astro Ria menganjurkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada format antarabangsa seumpama ini ialah menerusi program fenomena Akademi Fantasia yang kali terakhir diterbitkan pada tahun 2017 untuk edisi AF Megastar. Caturan berani Astro dalam memperkenalkan konsep realiti yang cukup asing di kalangan audiens tempatan pada tahun 2003 ketika itu ternyata telah membuka satu lembaran baharu yang mengubah landskap dunia hiburan secara drastik,” katanya.

Tambah Emarina, “Sebenarnya proses adaptasi bukanlah mudah seperti yang disangka. Selain terikat dengan garis panduan format asal yang ketat, setiap perincian mesti diambil kira bagi memastikan elemen tempatan dapat diterapkan sekaligus mengelakkan sebarang sensitiviti agar bersesuaian dengan adab resam dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia. Bagi memberikan kelainan yang unik, olahan kreatif di luar kotak juga harus disuntik bagi memastikan keseragaman ‘look and feel’ format asal dapat dikekalkan.”

Untuk makluman semua juga, program ATNMY ini sebenarnya sudah dua kali ditunda daripada tarikh asal yang dijadualkan akibat situasi ketidaktentuan pandemik pada ketika ini.

Namun begitu, strategi pemantapan kandungan telahpun diatur dengan teliti agar tidak menjejaskan mutu penganjuran sekaligus menjamin kepuasan tontonan yang maksima kepada penonton di rumah.

ATNMY masih mengekalkan format asal program tersebut.

Namun begitu, terdapat pengisian elemen tempatan yang turut disuntik untuk menambah baik format asal agar bersesuaian dengan resam norma baharu, budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia.

Keunikan utama program ATNMY yang dikendalikan oleh Sherry Al Hadad selaku Hos ini terletak kepada jumlah bilangan juri profesional dan peserta yang cukup besar melibatkan seramai 50 juri tetap dan hampir 250 jumlah keseluruhan peserta untuk musim pertama.

Mengangkat tagline Bersatu Dengan Lagu, penerbitan ATNMY musim pertama turut memperkenalkan konsep muhibah menerusi pemilihan barisan juri serta menyaksikan penyertaan daripada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Bakal diketuai oleh selebriti popular Dato AC Mizal selaku Kapten Juri, kesemua 50 juri yang telah dilantik adalah terdiri daripada barisan penggiat seni tersohor tanah air merangkumi pelbagai cabang seni yang berbeza seperti penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara, personaliti media sosial dan sebagainya.

Nasib para peserta akan diadili oleh barisan 50 juri profesional berdasarkan sistem penjurian kalah mati. Setiap juri mewakili dua markah.

Dua peserta yang mendapat markah tertinggi pada setiap episod akan mara ke peringkat akhir ATNMY Final untuk merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Seramai 24 peserta akan bertanding dalam setiap episod.

Setiap peserta akan diberikan tempoh 90 saat untuk membuat persembahan masing-masing.

Sekiranya juri suka dengan persembahan tersebut, mereka boleh mula memberikan markah kepada peserta sejurus selepas 30 saat pertama dengan menekan butang buzzer yang disediakan lalu ikut berdiri dan menyanyi bersama-sama dari tempat masing-masing sebagai tanda sokongan.

Tiga peserta yang mendapat markah tertinggi akan ditempatkan di tiga buah podium utama mengikut jumlah markah yang diterima.

Peserta yang mendapat markah paling banyak akan ditempatkan di podium yang pertama sekaligus layak untuk mara ke peringkat akhir secara automatik.

Manakala peserta yang berada di kedudukan kedua dan ketiga pula akan berentap sekali lagi dalam pusingan Sing-Off untuk menempah tempat ke peringkat akhir.

Untuk pusingan ini, peserta perlu memilih lagu baharu untuk dipersembahkan di hadapan barisan juri daripada senarai yang disediakan oleh pihak produksi.

Sekiranya ada peserta yang mendapat markah seri, Dato AC Mizal selaku Kapten Juri mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi memilih peserta yang layak untuk berada di podium.

Rangkaian program ATNM akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan aktiviti perjalanan para peserta dan barisan juri menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan kapsul harian Di Sebalik All Together Now Malaysia pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang bermula 31 Mei ini.

Kompilasi liputan itu juga boleh ditonton menerusi Kompilasi Di Sebalik All Together Now Malaysia pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam bermula 5 Jun depan.

Manakala rakaman konsert mingguan ATNMY pula akan bersiaran dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 6 Jun depan.

Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama ATNMY juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (105).

Program khas ATN Malaysia Extended pula akan menyiarkan klip video ‘bloopers’ menampilkan barisan juri dan peserta yang tidak pernah dikongsikan di mana-mana platform.

Ia akan disiarkan pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam bermula 7 Jun.

Untuk pengisian di platform digital pula, rakaman program All Together Now Malaysia Live Plus akan disiarkan bermula jam 9.00 malam di laman www.gempak/AllTogetherNowMY ketika berlangsungnya konsert mingguan ATNMY.

Advertisement