Anda di sini

Jumlah kematian dalam serangan di timur DR Congo meningkat kepada 26

Advertisement
 Gambar fail menujukkan Tentera Demokratik Congo mengadakan kawalan di perkampungan Manzalaho berdekatan Beni selepas diserang ADF. — Gambar AFP
BERKAWAL: Gambar fail menujukkan Tentera Demokratik Congo mengadakan kawalan di perkampungan Manzalaho berdekatan Beni selepas diserang ADF. — Gambar AFP

BENI: Sekurang-kurangnya 26 orang terkorban pada awal minggu ini di timur Republik Demokratik Congo dalam satu serangan yang dipersalahkan terhadap pejuang dari Allied Democratic Forces (ADF), menurut sebuah kumpulan pemerhati dan sumber kelmarin.

Pada Rabu lepas kerajaan tempatan dan pekerja kemanusiaan menyatakan 13 mayat telah dijumpai selepas serangan di kawasan Rwenzori di wilayah Beni dan beberapa orang telah hilang.

Pengesan Keselamatan Kivu, sebuah pertubuhan pengawasan tempatan yang mempunyai beberapa orang pakar di wilayah itu, menyatakan angka telah meningkat kepada 26 orang selepas lebih banyak mayat telah ditemui di kampung-kampung berhampiran.

“Sebanyak 13 mayat lain telah ditemui selepas pemeriksaan di dalam hutan,” seirang sumber kemanusiaan memberitahu AFP, menyatakan angka kematian mungkin akan bertambah.

ADF adalah antara yang paling berbahaya dalam kalangan militia bersenjata yang beroperasi di wilayah timur yang kaya dengan mineral di Republik Demokratik Congo.

Lebih dari 500 orang awam telah terkorban di beberapa buah wilayah di Kivu Utara dan Selatan sahaja sejak awal tahun, menurut kepada satu kiraan AFP berdasarkan kepada figura NGO dan sumber tempatan.

ADF merupakan sebuah kumpulan Islamis Uganda yang telah bersembunyi di timur DRC sejak 1995.

Amerika Syarikat telah menyatakan ADF telah dikaitkan dengan Islamic State (IS), dan dikenali sebagai ISIS-DRC atau Madina at Tauheed Wau Mujahedeen.

Presiden DR Congo Felix Tshisekedi pada bulan ini mengisytiharkan “satu perintah pengepungan” selama 30 hari – undang-undang tentera secara efektif di Kivu Utara dan wilayah berhampiran Ituri dalam satu usaha untuk mencegah pertumpahan darah oleh ADF. — AFP

Advertisement