Anda di sini

Keuntungan bersih suku pertama Petronas Gas naik kepada RM516.4 juta

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd meningkat kepada RM516.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2021 daripada RM368.1 juta pada tempoh yang sama tahun lepas ketika ia mengekalkan prestasi kukuh bertaraf dunia di semua loji dan kemudahannya.

Bagaimanapun, hasil susut empat peratus kepada RM1.34 bilion daripada RM1.396 bilion sebelumnya terutama kerana penurunan pendapatan daripada segmen utiliti sejajar dengan harga produk yang rendah di tengah-tengah jumlah jualan yang tinggi, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu berkata, prestasi pada 2021 diunjur kekal berdaya tahan meskipun berdepan penularan pandemik berikutan model perniagaan dan kontrak jangka panjang dapat memastikan aliran pendapatan yang kukuh, khususnya bagi segmen perniagaan pemprosesan gas, pengangkutan gas dan pengegasan semula.

Petronas Gas berkata segmen perniagaan pengangkutan dan pengegasan semula dijangka terus memberi sumbangan positif kepada pendapatan syarikat di bawah tarif Tempoh Kawal Selia 1.

“Segmen pemprosesan gas syarikat dijangka kekal stabil berikutan aliran pendapatannya yang kukuh dan mampan di bawah penggal kedua Perjanjian Pemprosesan Gas 20 tahun berkuat kuasa dari 2019 sehingga 2023.

“Sumbangan segmen utiliti syarikat akan didorong oleh permintaan pelanggan yang disokong oleh keadaan ekonomi,” katanya. - Bernama 

Advertisement