Anda di sini

Agong nasihat Kerajaan Sarawak berfungsi seperti biasa

Advertisement
Abang Johari bersama para pemimpin GPS ketika menghadap Agong secara maya, hari ini.
Abang Johari bersama para pemimpin GPS ketika menghadap Agong secara maya, hari ini.

KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan agar Kerajaan Negeri Sarawak berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak yang memaklumkan demikian menerusi satu kenyataan, menambah situasi COVID-19 agak membimbangkan. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat pada 6 Jun 2021, justeru menuntut agar Pilihan Raya Negeri Ke-12 diadakan.

Ia merupakan keputusan susulan para pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghadap Al-Sultan Abdullah secara maya berhubung tempoh DUN dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, hari ini.

Ia turut disertai, tiga Timbalan Ketua Menteri - Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian dan Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Dato Sri Tiong King Sing.

"Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud setelah menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia," kata kenyataan itu.

Ekoran Pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Advertisement