Anda di sini

Satu lagi korban rabies di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Rabies meragut satu lagi nyawa di Sarawak sekali gus menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 32 sejak wabak itu diisytiharkan di negeri ini pada 1 Julai 2017.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini, berkata kes kematian terbaharu itu disahkan positif pada 5 Mei 2021. 

Kes katanya merupakan seorang wanita berumur 45 tahun yang tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus di Selangau.

Beliau memberitahu, kes mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan anjing tersebut yang sedang bergaduh dengan anjing lain pada 9 Mac 2021. 

"Kes telah mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama. Rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan temu janji susulan telah diberikan. 

"Malangnya kes telah tercicir daripada rawatan susulan. Setelah berjaya dikesan, kes telah diberi suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April 2021. Namun begitu, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei 2021 lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan," jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei 2021.

Keadaan pesakit katanya semakin merosot dan kes meninggal dunia pada 6 Mei 2021 jam 7.13 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.

"Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di Sarawak untuk tahun 2021 sebagai tiga kes. Manakala, sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 34 dengan 32 kematian. 

"Terdapat dua kes kanak-kanak yang masih hidup dengan komplikasi neurologi yang teruk," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham apabila jangkitan virus rabies yang berlaku di luka gigitan haiwan tidak diambil tindakan rawatan segera, ia akan menyebabkan kematian sekiranya jangkitan telah sampai ke otak. 

Justeru, ujarnya KKM ingin menasihati orang awam khususnya di Sarawak agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan virus rabies iaitu sekiranya digigit atau dicakar atau terkena air liur haiwan, luka mesti dicuci menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit.

Selain itu katanya individu terbabit perlu segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

"Pastikan vaksin anti-rabies lengkap diterima mengikut temu janji yang diberikan oleh pengamal perubatan, walaupun ketika dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 ini dan tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar.

"Bagi orang awam khususnya di Sarawak yang mempunyai haiwan peliharaan, dinasihatkan agar mengikuti langkah-langkah berikut, sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang optimum seperti amalan cuci tangan menggunakan air mengalir dan sabun selepas mengendalikan haiwan peliharaan.

"Pastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti-rabies setiap tahun agar dilindungi dari jangkitan virus rabies, tidak melepaskan haiwan peliharaan bebas berkeliaran untuk mengelakkan risiko dijangkiti rabies oleh anjing liar atau kucing liar atau haiwan mamalia liar lain," katanya.

Katanya lagi jika haiwan peliharaan berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif atau muram, jangan cuba menangkap atau menyentuh atau membunuh haiwan tersebut, laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) berhampiran untuk tindakan lanjut haiwan tersebut.

Beliau menambah, kemungkinan anjing liar dijangkiti virus rabies amat tinggi di kawasan wabak rabies. 

Justeru, laporkan kepada PBT jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal dan kawalan populasi haiwan peliharaan amat digalakkan dan dapatkan nasihat daripada doktor veterinar Kerajaan atau swasta berhampiran untuk nasihat lanjut.

"Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berusaha dan memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dalam kalangan penduduk dilaksanakan; seperti rawatan kes, pemberian vaksin anti-rabies dan immunoglobulin kepada individu yang disyaki dijangkiti virus rabies berdasarkan penilaian risiko serta komunikasi risiko.

"Namun begitu, kerja sama rakyat Sarawak dimohon agar mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan wabak rabies di Sarawak ini dapat dibasmi," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement