Anda di sini

Maxis kongsi kisah budaya dan tradisi masyarakat sempena musim menuai

Advertisement

PERAYAAN Tadau Kaamatan yang disambut pada 30 dan 31 Mei oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah dan Hari Gawai yang diraikan pada 1 dan 2 Jun setiap tahun di Sarawak masing-masing sebagai tanda berakhirnya musim menuai.

Di sebalik perayaan ini terselit pelbagai kisah tentang keunikan budaya, warisan turun-temurun malah cerita lagenda dalam kalangan masyarakat Borneo.

Menyedari betapa berharganya khazanah ini, Maxis menerusi kempen #MenuaiKisah ingin memastikan kisah-kisah unik ini terus dapat didengari dan dihayati generasi akan datang.

Bagi merealisasikan Kempen #MenuaiKisah ini, Maxis berkolaborasi dengan masyarakat Borneo sendiri bagi menceritakan warisan dan budaya mereka agar ia terus hidup subur di dalam hati, fikiran dan diri generasi baharu dan dengan bantuan teknologi, kisah ini tidak lapuk dek zaman.

Pison Jaujip
Pison Jaujip

MENYELAMI kisah Pison Jaujip, anak muda ini menyifatkan pesta Kaamatan sebagai pesta kesyukuran dan menghormati Bambarayon (semangat padi) atas hasil tuaian padi yang mana ia juga memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan kaum Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR).

“Melalui kempen Maxis #MenuaiKisah ini, saya ingin mengambil kesempatan berkongsi dengan pengikut saya di media sosial menerusi Facebook Ropuhan di Tanak Wagu makanan tradisi kaum KDMR sempena musim perayaan ini.

“Pada masa sama, melalui video makanan tradisi yang saya kongsikan, ramai pengikut Ropuhan di Tanak Wagu berkongsi cerita dan dapat mengimbau kembali kisah hidup mereka dahulu.

“Kalau boleh, saya mahu kekalkan kesemua amalan budaya dan tradisi masyarakat KDMR seperti bahasa ibunda, makanan tradisi, cerita rakyat KDMR, pakaian tradisional dan banyak lagi.

“Sebab kalau bukan kita, siapa lagi yang akan jaga warisan budaya dan tradisi. Amalan ini bukan saja patut diamalkan pada sambutan Pesta Kaamatan tetapi dalam kehidupan seharian juga,” katanya.

Tambah Pison lagi, melalui perkongsian resipi masakan ini, para pengikutnya di laman media sosial dapat mengimbau kembali masakan tradisional keluarga mereka sekali gus mencipta memori bersama.

“Sempena Kaamatan tahun ini, saya ingin kongsikan resipi mengenai Linopot Linangatan Guol (Nasi Keladi Bungkus).

“Linopot Linangatan Guol adalah kaedah memasak nasi oleh suku kaum KDMR di Sabah pada zaman dahulu dan merupakan salah satu juadah kegemaran pada musim perayaan,” jelas beliau.

Maya Bayu
Maya Bayu

JIKA Pison mendekati orang ramai menerusi resipi masakannya, Mayabayu pula ‘mencuri’ perhatian netizen melalui keunikan lagu-lagu yang dicipta hasil daripada bait-bait puisi Kadazandusun.

Mesra disapa Mayabayu, dia berkata, lagu berjudul ‘Hinsou’ yang bermaksud benih itu digubah khas untuk kempen #MenuaiKisah Maxis dan menceritakan keindahan Sabah dari aspek tanah airnya sehinggalah kepada rakyat Negeri di Bawah Bayu itu terutamanya pada musim perayaan.

Menurut gadis berketurunan Sino-Kadazan itu, keindahan lagu tersebut juga terletak pada alunan petikan alat-alat muzik tradisional Sabah seperti Sundatang, Suling, Sompoton dan Kulintangan yang menyerlahkan keaslian muzik tersebut.

“Saya telah belajar bahawa puisi Kadazandusun selalu didendang dengan melodi yang rumit. Terdapat lebih daripada 70 jenis melodi dalam puisi Kadazandusun antaranya adalah Sudawil, Talaala, Sundait, Surolo dan lain-lain,” katanya.

Mayabayu memberitahu, dia kini dalam proses merakam muzik untuk beberapa puisi asli yang ditulis oleh Prof Rosliah Kiting dan berkongsi rakaman serta memasarkannya melalui media sosial.

“Dengan cara ini, ia membantu menghidupkan dan mengekalkan puisi Kadazandusun,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Mayabayu berkata, walaupun tidak berpeluang pulang untuk menyambut Pesta Kaamatan tahun ini, dia bersyukur kerana boleh berhubung bersama ahli keluarga di Sabah dengan senang melalui panggilan video menggunakan talian Maxis.

Genevieve Gerald
Genevieve Gerald

BERKONGSI pengalaman meraikan Hari Gawai, seorang gadis Iban, Genevieve Gerald Wilson berkata, lazimnya masyarakat Iban akan berkumpul di rumah panjang dan menziarahi satu sama lain.

Menurutnya, pelbagai hidangan tradisional seperti nasi buluh, kasam (ikan pekasam) dan tuak terutamanya akan disajikan sepanjang hari hingga ke malam bagi merayakan pesta Gawai.

Tambahnya lagi, pertandingan ratu cantik dipanggil Kumang Gawai yang sangat sinonim dengan masyarakat Iban juga akan diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan.

Dia merasakan adat dan tradisi masyarakat Iban termasuk semasa meraikan Hari Gawai perlu sentiasa dipelihara terutamanya dalam kalangan generasi muda hari ini kerana ia melambangkan identiti mereka.

“Walaupun saya sendiri dibesarkan dalam suasana bandar, sebahagian elemen kebudayaan masyarakat Iban masih diterapkan dalam diri.

“Seperti dua tahun kebelakangan ini, walaupun tidak dapat meraikan Gawai seperti kelaziman, saya bersyukur kerana masih dapat berhubung dengan rakan taulan dan saudara mara menerusi WhatsApp dan panggilan video,” katanya.

Helen Untet
Helen Untet

BERLAINAN pula kisahnya dengan Helen Untet yang merasakan ramai generasi muda kurang memahami erti sebenar perayaan sambutan Hari Gawai.

Helen yang berbangsa Bidayuh berkata, generasi muda sepatutnya berbangga dengan keunikan sambutan Hari Gawai yang unik ini kerana ianya satu simbol penghargaan kepada masyarakat Dayak  yang telah bekerja keras untuk mendapatkan tuaian padi seterusnya menjadi satu sambutan sempena musim menuai.

“Saya sendiri selalui ingat pesanan ibu serta tradisi yang telah diperturunkan. Kita harus tahu bagaimana amalan tradisi pada zaman dahulu dan mengapa ia menjadi sebahagian daripada amalan hari ini.

“Pengalaman paling manis ialah meluangkan masa menyediakan juadah hari Gawai bersama ibu di dapur. Antaranya ialah memasak manisan istimewa dipanggil kuih jala yang perlu disediakan dengan menggunakan peralatan kayu tradisional untuk mendapatkan bentuk kuih menyerupai jala,” katanya.

Saksikan video kisah tersebut dan ketahui lebih lanjut tentang kempen Maxis #MenuaiKisah dengan layari maxis.com.my/menuaikisah sekarang.

Advertisement