Anda di sini

Putera Harry sekali lagi dakwa keluarganya kurang empati

Advertisement
 Putera Harry sekali lagi menekankan keluarganya memandang sebelah mata kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh isterinya dalam sebuah siri dokumentari yang baharu ditayangkan, dan menyatakan beliau tidak akan “berdiam diri apabila dibuli.” — Gambar AFP
DOKUMENTARI BAHARU: Putera Harry sekali lagi menekankan keluarganya memandang sebelah mata kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh isterinya dalam sebuah siri dokumentari yang baharu ditayangkan, dan menyatakan beliau tidak akan “berdiam diri apabila dibuli.” — Gambar AFP

DALAM sebuah siri dokumentari yang baharu ditayangkan, Putera Harry sekali lagi menekankan keluarganya memandang sebelah mata kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh isterinya Meghan Markle, menyatakan beliau tidak akan “berdiam diri apabila dibuli.”

Siri tersebut ditayangkan sehari selepas siasatan persendirian di Britain mendapati bahawa seorang wartawan BBC menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan wawancara sensasi 1995 bersama Puteri Diana, ibu kepada Harry dan abangnya William,  yang menyaksikan beliau menceritakan kedukaan perkahwinannya bersama Putera Charles.

“Saya ingatkan keluarga saya akan membantu, namun setiap pertanyaan, rayuan, amaran, apa sahaja, dilayan dengan kesenyapan dan  pengabaian,”  ulas Harry tentang kemurungan yang dihadapi isterinya selepas melahirkan anak mereka Archie.

Kedua-dua Harry dan isterinya pernah mengalami kekacauan mental, dengan Meghan menyatakan beliau pernah berfikir untuk membunuh diri pada 2019.

Dalam siri Apple+ bertajuk ‘The Me You Can’t See’ (‘Saya yang Kamu Tidak Dapat Lihat’), yang diterbitkan oleh Harry bersama Oprah Winfrey, cucu Ratu Elizabeth II Britain itu menjelaskan beliau berasa segan untuk mengadu kepada keluarganya, kerana mengetahui “bahawa saya tidak akan mendapatkan dari keluarga saya apa yang saya perlukan.”

Dengan fokus untuk menentang stigma tentang isu kesihatan mental, siri dokumentari itu menampilkan anak bongsu Putera Charles dan Puteri Diana memberi tamparan hebat kepada Istana Windsor.

Pasangan itu bersembang dengan Oprah dalam wawancara terbitan CBS awal Mac, menimbulkan krisis tergempar sejak kerabat diraja sejak kematian ibu Harry dalam kemalangan kereta semasa 1997.

Dalam siri baru tersebut Harry meletakkan fokus kritikan kepada ayahnya, yang sebelum ini diperkatakan memilih kasih antara anaknya.

“Ayah saya selalu berkata kepada kedua-dua William dan saya: ‘Keadaan seperti ini menimpa saya, jadi ia akan begini juga terhadap kamu,’” kata Duke of Sussex berusia 36 tahun itu.

“Itu tidak masuk akal. Tidak bermaksud kerana kamu telah sengsara anak-anak kamu harus sengsara juga,” kata Harry.

“Ia sepatutnya sebaliknya, jika kamu menghadapi kesengsaraan, berikhtiar sebaiknya untuk memastikan pengalaman negatif yang kamu hadapi, diperbetulkan buat anak-anak kamu.

Harry telah bercakap dengan ayahnya beberapa kali sejak temu bual bersama Oprah ditayangkan, seperti yang dilihat semasa majlis pengebumian datuknya, Putera Philip, menurut media British.

Namun hubungan mereka kekal tegang.

Sungguhpun begitu, majoriti rakyat Britain tidak menggemari Harry dan Meghan, menurut tinjauan pendapat terkini oleh YouGov.

Segelintir media British mendakwa pasangan tersebut memperlekehkan layanan media serta menggunakan liputan bagi meningkatkan imej mereka.

Dalam siri tersebut Harry meluahkan sebagai budak lelaki beliau tidak mempunyai kuasa untuk melindungi ibunya, yang sentiasa dikerumuni media.

Pada Khamis, wartawan Martin Bashir memohon maaf atas kesalahan menggunakan penyata bank palsu untuk memujuk Diana bagi membenarkannya menemu bual beliau.

Siri tersebut juga menyaksikan Harry menceritakan butir-butiran pengalamannya menjalani terapi, menyatakan ia “melengkapi saya untuk mengharungi apa sahaja” terutamanya membantu  beliau mengharungi kematian ibunya pada usia 12 tahun.

Beliau berkata hidup di samping Meghan telah menyedarkan dirinya kepentingan kesihatan mental: “Saya tahu sekiranya saya tidak menjalani terapi dan memperbetulkan diri saya, saya akan kehilangan wanita ini yang saya ingin hidup bersama sehingga hujung hayat.”

Duke dan Duchess of Sussex itu pada Januari 2020 mengumumkan mereka menarik diri daripada tugas barisan hadapan kerabat diraja.

Mereka berpindah ke California, di mana Meghan berasal.

Harry mengakui dalam rancangan tersebut penyesalan terbesar beliau adalah tidak “membuat lebih banyak tentangan pada awal hubungan saya bersama isteri serta mengecam isu perkauman” yang dihadapi oleh bekas pelakon itu daripada media British dan media sosial.

Putera itu tidak menujukan sebarang dakwaan perkauman terhadap keluarganya dalam dokumentari berkenaan, meskipun pada Mac beliau menyuarakan bahawa seorang saudara bimbang dengan warna kulit anak lelakinya sebelum bayi itu dilahirkan.

Persoalan tersebut menggegarkan Istana Buckingham, menyaksikan Putera William, abang Harry menyatakan: “Kami bukanlah keluarga yang rasis.” — AFP

Advertisement