
KOTA KINABALU : Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah telah diwujudkan di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Pengarah UPPM Sabah Datuk Matbali Musah berkata, 73 kawasan itu termasuk 13 kawasan baharu.
"Kita telah menyelesaikan isu pelantikan dan mengharmonikan gabungan kerja kakitangan unit di setiap kawasan menerusi pendekatan kerjasama serta kolobrasi yang baik,"katanya ketika berucap pada program Taklimat Khas UPPM Sabah kepada kakitangan UPPM di Kawang di sini hari ini.

Menurutnya UPPM adalah satu jentera pentabdiran yang menjadi mata dan telinga kerajaan kepada rakyat.
Sehubungan itu Matbali yang juga Ketua Bahagian BERSATU Sipitang berkata, unit UPPM merupakan satu entiti keluarga yang besar yang cabarannya tidak dapat dinafikan tetapi dapat diatasi secara harmoni dan kekeluargaan.
Matbali menasihatkan agar para pemimpin di setiap unit harus peka serta mengemudi unit mereka secara harmoni demi kelangsungan parti memerintah yang dinaungi parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, rakyat tidak perlu keliru kerana gabungan GRS di Sabah terus mantap kerana para pemimpinnya mengutamakan kepentingan rakyat.
Terdahulu, Taklimat UPPM Sabah itu dikendalikan oleh PPM Suraya Asek dari unit Operasi Ibu Pejabat UPPM Sabah.