Anda di sini

Tujuh kes COVID-19 Varian Afrika Selatan dikesan di Kuching

Advertisement
Gambar sekadar ilustrasi.

KUCHING: Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IKPK) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini melaporkan terdapat tujuh kes Varian Afrika Selatan (VOC), B.1.351 dikesan di daerah Kuching.

Ketua Institut Kesihatan dan Perubatan UNIMAS Prof. Dr David Parera berkata kes terawal dikendalikan IKPK diuji positif menerusi ujian RT-CPR pada 26 April 2021 dan terkini pada 6 Mei 2021.

"Kami juga mengesan kes-kes tambahan V3 P3 di Samarahan dan Sibu. Selain itu kami mengesan varian B.1.530 yang dilihat dominan di Miri juga Kuching. Data kami juga menunjukkan varian B.1.466.2 'Pasai' terus tersebar di seluruh Sarawak," katanya menerusi satu kenyataan.

Dengan penemuan baharu varian SARS-COV-2 ini tersebar di Sarawak, pihaknya menekankan perlunya orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan, terutamanya pemakaian pelitup muka, sentiasa menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan fizikal.

"Amat penting juga untuk kita (Sarawak) mencapai imuniti kelompok menerusi program-program vaksinasi. Sehubungan itu kami (IKPK menggesa rakyat negeri ini mendaftar diri untuk divaksinasi," katanya.

Menjelas lanjut, Dr David berkata Sarawak telah mengesan varian SARS-COV-2 yang beredar di Sarawak dan sehingga ini makmal IKPK telah menyelesaikan penjujukan genom lebih daripada 600 sampel dan data urutan genom dikongsi dalam pangkalan data urutan SARS-COv-2, global GISAID.

Baru-baru ini katanya IKPK melaporkan kajian pengawasan varian yang dilakukan telah mengenal pasti varian B.1.470 dan B.1.524 sebagai varian yang tersebar dalam gelombang ketiga (Sept - Nov, 2020) dan varian B.1.470, B.1.524 dan B.1.466.2 tersebar semasa gelombang keempat (Disember 2020 dan seterusnya) di Sarawak.

"Terutamanya varian B.1.466.2 berkaitan dengan kelompok 'Pasai' di Sarawak dan varian ini berkongsi mutasi dengan varian UK B.1.1.7 pada kedudukan 681 protein SARS-COV-2 Spike yang dikaitkan dengan peningkatan jangkitan.

"Kami juga melaporkan pengesanan varian (VOI) B.1.1.28.3 atau varian P3 di daerah Kuching dan Samarahan. Varian ini pertama dikesan di Filipina Mac tahun ini dan baru-baru dikenal pasti dalam kes-kes import ke UK. 

"Varian P3 dikategorikan oleh menerusi mutasi berganda; mutasi E484K dikongsi dengan varian Afrika Selatan B.1.351 dan mutasi N501Y berkongsi dengan varian B.1.1.7 UK," jelasnya.

Dr David menambah, mutasi-mutasi ini telah dikaitkan dengan pelepasan imun daripada perlindungan jangkitan vaksin dan perlindungan jangkitan semula jadi serta melibatkan penularan yang besar.

  • oleh
  • Advertisement