Anda di sini

JPBNS, KKM diminta teliti aduan potong barisan di pusat vaksinasi

Advertisement
Kelvin (tengah) membantu menghantar seorang penerima vaksin ke pusat vaksinasi bagi mendapatkan suntikan vaksin COVI9-19.
Kelvin (tengah) membantu menghantar seorang penerima vaksin ke pusat vaksinasi bagi mendapatkan suntikan vaksin COVI9-19.

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti aduan memotong barisan di pusat vaksinasi. 

Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu berkata, pihaknya menerima aduan terdapat individu dan kumpulan kenamaan yang memotong barisan di pusat vaksinasi.

“Kami dimaklumkan mereka mengelak dari beratur dan terus menuju ruangan khas untuk orang kurang upaya (OKU) dan mereka dengan keperluan khas. 

“Jika ini benar, ini adalah sesuatu yang serius dan harus disiasat dengan teliti serta ditangani,” katanya. 

Tambah Kelvin, layanan dwistandard dan potong barisan tidak seharusnya dibenarkan tanpa mengira status terutama untuk vaksin yang diperuntukkan bagi mereka dengan keperluan khas. 

“Sebab itu saya berharap perkara ini akan diteliti oleh JPBNS dan KKM untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya. 

Pada masa sama kata Kelvin, pihaknya akan meneruskan perkhidmatan untuk mereka yang memerlukan pengangkutan ke pusat vaksinasi. 

Berikutan perkhidmatan yang terhad, keutamaan akan diberikan kepada golongan warga emas dan berkeperluan khas. 

“Pasukan kami akan terus membantu warga emas dan mereka dengan keperluan khas mendapat temu janji vaksinasi mereka. 

“Kami mahu pastikan sebanyak yang boleh kumpulan berisiko tinggi divaksin bagi melindungi mereka daripada jangkitan COVID-19,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement