Anda di sini

Sarawak tawar vaksin AstraZeneca secara sukarela

Advertisement
 

KUCHING: Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak telah memutuskan untuk membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca COVID-19 secara sukarela bagi melengkapkan pelan vaksinasi COVID-19 di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata, vaksin berkenaan akan dibekalkan ke Sarawak menerusi CITF Kebangsaan dan akan ditawarkan kepada penduduk berdasarkan konsep 'siapa cepat, dia dapat' secara sukarela menerusi janji temu.

"Pusat vaksinasi yang berasingan dan khusus akan didirikan untuk tujuan ini dan akan diumumkan nanti," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Uggah, Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak (SCoVAG) telah meneliti dan mengkaji perkembangan vaksin COVID-19 global, kebangsaan dan tempatan (Sarawak) pada masa ini dan vaksin AstraZeneca COVID-19 (kini disebut Vaxzevria) khasnya.

SCoVAG telah mengemukakan cadangannya untuk menggunakan vaksin AstraZeneca untuk penduduk Sarawak yang layak secara sukarela kepada CITF Sarawak.

"Dengan itu CITF Sarawak telah memutuskan untuk membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca COVID-19 bagi melengkapkan pelan vaksinasi COVID-19 besar-besaran di Sarawak," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Uggah berkata sebelum ini, susulan pengumuman kerajaan persekutuan bahawa vaksin AstraZeneca akan menjadi sebahagian daripada pelan Vaksinasi COVID-19 seluruh negara, sekitar 8,000 orang telah membatalkan pedaftaran vaksinasi dalam talian mereka. 

Selain itu, terdapat juga keraguan vaksin yang meningkat dengan beberapa orang tidak hadir janji vaksinasi mereka.

"Sehubungan itu, keputusan dibuat untuk mengambil keluar vaksin AstraZeneca dari Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan vaksin akan ditawarkan kepada mereka yang menawarkan diri untuk menerima vaksin dengan kaedah 'siapa cepat, dia dapat'.

"Berdasarkan menerusi kadar penolakan pendaftaran vaksin, CITF Sarawak memilih untuk tidak menerima vaksin AstraZeneca untuk Pelan Vaksinasi COVID-19.

"Kerajaan Sarawak tidak mahu Program Vaksinasi COVID-19 di Sarawak terganggu oleh keraguan akibat penggunaan vaksin AstraZeneca," katanya.

Beliau berkata namun selepas pengalaman baru-baru ini yang menawarkan vaksin AstraZeneca di Selangor dan Kuala Lumpur secara sukarela, sebuah akhbar tempatan melakukan tinjauan dalam talian pada 4 Mei di Sarawak mengenai penerimaan vaksin AstraZeneca.

Katanya, hasil kajian menunjukkan 69.4 peratus daripada 1,037 maklum balas menyokong pemberian pilihan kepada orang Sarawak untuk diberi vaksin AstraZeneca COVID-19.

Namun hanya 52.9 peratus daripada 1,040 maklum balas yang diterima sebenarnya hanya mahu divaksin dengan vaksin AstraZeneca COVID-19.

"Melihat kepada perkembangan ini dan kesungguhan rakyat Sarawak untuk memilih vaksin AstraZeneca, CITF Sarawak telah bersetuju untuk menjadikan vaksin ini digunakan di Sarwak secara sukarela dengan 'siapa cepat, dia dapat' menerusi janji temu," kata Uggah.

  • oleh
  • Advertisement