Anda di sini

Remaja lelaki ditahan reman, bantu siasatan video tular

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun diberkas dan ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang dikatakan menimbulkan suasana tidak harmoni malam Isnin (17 Mei).

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (gambar) berkata suspek diberkas kerana dikaitkan dengan rakaman tersebut di sebuah rumah di Jalan Sultan Tengah.

Menurutnya rumah didiami remaja berkenaan diserbu orang awam yang tidak berpuas hati dengan video tular.

"Suspek dibawa ke Balai Polis Gita seterusnya tangkapan dibuat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi. Suspek direman selama empat hari sehingga 22 Mei ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aidi selain itu menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dan seharusnya menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil tindakan berlunaskan undang-undang.

"Polis memandang serius perkara ini dan orang ramai sepatutnya bertindak menggunakan akal waras dan bukan bertindak mengikut emosi," katanya.

Beliau selain itu memberitahu pihaknya turut menjalankan siasatan di bawah Peraturan 17(1)P PPPPB 2021 kerana menerusi rakaman rumah suspek diserbu, didapati sekitar 15 orang telah berkumpul dan ia melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Malah katanya, ada di antara mereka dikesan tidak menggunakan pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal.

"Justeru individu yang terlibat berkumpul di hadapan rumah (Taman Sukma) diminta hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis," katanya.

Advertisement