Anda di sini

PSB buat laporan polis akaun FB rasmi digodam

Advertisement
 Kuan San (kanan) bersama Dr Rayong menunjukkan laporan polis dan lampiran bahan bukti selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Maong pagi semalam.
BERSIH NAMA: Kuan San (kanan) bersama Dr Rayong menunjukkan laporan polis dan lampiran bahan bukti selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Maong pagi semalam.

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) menerusi sayap Pemuda telah membuat laporan polis berkenaan akaun Facebook rasmi parti itu yang telah digodam dan ditiru oleh individu tidak dikenali mulai kelmarin.

Laporan polis dibuat oleh pentadbir asal laman sesawang itu, Sze Kuan San, 46, di Balai Polis Sungai Maong, Batu Tiga setelah mendapati akaun asal PSB pusat tersebut digodam dengan membuat pelbagai hantaran jelik berbentuk karikatur, ayat dan grafik yang bersifat provokasi, pembohongan dan tidak tepat berkenaan misi dan visi PSB.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PSB Pusat itu, akaun asal menggunakan nama Parti Sarawak Bersatu yang beliau sebagai pentadbir asal telah digodam oleh seseorang sama ada secara individu atau berkumpulan.

“Dalam setiap ‘posting’ jelas memperlihatkan individu tersebut atau berkumpulan mengajak orang awam agar membenci PSB dengan membuat hantaran yang seolah-olah PSB sebuah parti yang rasis, wujud amalan berpuak-puak, memperlekeh perpaduan kaum di Sarawak, ada kepimpinan PSB yang tiada integriti dan tidak boleh dipercayai,” katanya kepada media.

“Untuk mengukuhkan laporan saya sertakan lampiran bahan ‘posting’ tidak bertanggungjawab tersebut kepada polis,” ujarnya dan menambah mahu pihak berkuasa menyiasat pemilik akaun yang melakukan godaman dengan niat mahu menjatuhkan nama baik PSB.

Katanya, PSB kini sangat diterima baik oleh semua pengundi di pelbagai peringkat, justeru terdapat individu atau secara berkumpulan yang mahu melakukan sabotaj dengan harapan mewujudkan rasa kebencian terhadap parti itu.

“Maka kami berharap dengan laporan polis ini yang akan dipanjangkan kepada pihak Suruhanjaya Securiti Malaysia (SKMM) tiada lagi pihak mahu melakukan niat tidak baik kepada PSB,” tegasnya.

Turut mengiringi Kuan San ialah Ketua Pemuda merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili selaku Timbalan Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa.

Advertisement